Nga Kor Ming.

SHAH ALAM – Isu sampah dan penyelenggaraan kebersihan flat-flat kos rendah di Johor akan diselesaikan dalam tempoh dua hari.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memberi jaminan tersebut susulan kekecewaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat kos rendah di negeri itu yang tidak memuaskan.

“Saya telah terima gambar-gambar sampah dari Sultan Johor dan kita akan tangani segera dalam masa terdekat. Dua hari ini tindakan akan diambil,” katanya ketika sidang media pada majlis Apresiasi Kecemerlangan KPKT 2022 di Pusat Konvensyen MBSA, di sini, hari ini.

Semalam, Sultan Ibrahim bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.

Baginda yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan pembersihan oleh SWM Environment Sdn Bhd (SWM) bertitah,  kerajaan negeri terpaksa membayar hampir RM180 juta setiap tahun kepada syarikat itu namun pungutan sampah yang dijalankan tidak memuaskan.

Menurut Kor Ming, SWM juga telah diminta untuk memberi penjelasan mengenai isu berkenaan.

Bagaimanapun tambah beliau, semua pihak perlu saling bekerjasama demi memastikan isu kebersihan di flat kos rendah di Johor di atasi dengan segera.

“SWM akan berikan maklum balas dalam masa terdekat tentang isu yang dibangkitkan oleh Sultan Johor, dan tindakan yang segera akan diambil.

“Cuma saya minta kerjasama semua agensi dalam perihal ini, kerana bukan semua adalah SW Corp ada beberapa isu di luar skop kerja dan di luar skop kontrak SW Corp, tidak boleh melebihi bidang kuasa kalau tidak ada dalam kontrak macam mana (SW Corp) nak buat,”ujarnya. – MalaysiaGazette