Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Tarekat, semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, RUU itu dilaksanakan agar kegiatan tarekat boleh didaftarkan dan dibenarkan beroperasi dengan kaedah yang tepat.

Menerusi enakmen itu, pemantauan dapat dilakukan bagi membendung ajaran sesat yang bertentangan Islam dengan menggunakan nama tarekat.

“Pelaksanaan enakmen ini kelak diharap dapat memberi kesan seperti berikut, amalan tarekat tasawuf dapat dimasyarakatkan dan tidak diamalkan secara sembunyi-sembunyi.

“Pengamal tarekat dan masyarakat akan dapat pendedahan tepat dan secara ilmiah tentang tarekat tasawuf,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, semalam.

Selain itu katanya, enakmen tersebut juga dapat menyasarkan gerakan sifar sesat di negeri ini selain dapat mewujudkan organisasi kumpulan Tarekat yang bersistematik dan berorganisasi.

“Enakmen ini dapat membimbing dan mentarbiah pengamal Tarekat berdasarkan prinsip tasawuf yang murni di bawah seliaan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah dan Pendaftar Tarekat,” ujarnya.

Wan Rosduy berharap dengan pembentangan RUU itu dapat memperkasakan hal ehwal agama Islam dan membendung percanggahan syarak terhadap sebarang amal ibadat. – MalaysiaGazette