SEMPENA Hari Hipertensi Sedunia yang disambut pada 17 Mei setiap tahun, sesuailah untuk kita mengetahui dengan lebih lanjut lagi mengenai perkara-perkara yang kurang diketahui yang boleh menyebabkan paras tekanan darah kita meningkat. Dengan lebih 30% orang dewasa Malaysia menghidapi penyakit ini, maka sudah tiba masanya kita serius dalam memastikan tekanan darah kita terkawal.
Banyak perkara yang rakyat Malaysia gemari, antaranya makanan dan cuti umum. Namun, ada satu lagi persamaan yang kebanyakan daripada kita hidapi, iaitu hipertensi atau tekanan darah tinggi. Betullah apa yang anda baca itu. Kadar hipertensi di Malaysia adalah sangat tinggi di mana 3 daripada 10 orang dewasa terjejas oleh situasi yang kronik ini. Sayang sekali, biarpun keadaan ini semakin meluas, ramai yang tidak begitu mengambil serius mengenainya, malah kira-kira separuh daripada mereka tidak menyedarinya kerana hipertensi tidak dikaitkan dengan sebarang gejala yang ketara.
”Hipertensi atau tekanan darah tinggi dikenali sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana kebanyakan orang berasa sihat walaupun menghidapinya, jelas Profesor Madya Dr Verna Lee Kar Mun, Pakar Perubatan Keluarga di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).
Namun begitu, sikap tidak mengendahkannya boleh membawa kepada komplikasi serius seperti strok dan kegagalan organ dalam badan. Sebaik sahaja munculnya tanda-tanda amaran seperti penglihatan yang kabur, pening-pening, sakit dada dan kesukaran untuk bernafas, ini bermakna komplikasi sudah pun berlaku.
Faktor-faktor risiko termasuklah sejarah keluarga yang menghidapi hipertensi, obesiti, gaya hidup yang tidak aktif dan diet tidak sihat yang mengandungi kandungan garam yang tinggi. Sekiranya kesemua faktor itu berkaitan dengan anda, berkemungkinan besar anda berisiko untuk mendapat hipertensi.
Berikut adalah tiga perkara yang perlu anda lakukan untuk memastikan tekanan darah (BP) anda dalam julat normal, sekaligus mengurangkan risiko anda untuk mendapat komplikasi.
1. Periksa BP anda selalu
Jangan takut untuk memeriksa tekanan darah anda. Anda sepatutnya berusaha untuk memeriksa tekanan darah sekurang-kurangnya setahun sekali walaupun anda sihat, nasihat Dr Verna. Bagi memudahkan urusan, dapatkan pemeriksaan tekanan darah setiap kali anda berjumpa doktor semasa mendapatkan konsultasi apabila batuk atau selesema.
Walaupun tekanan darah lazimnya akan sedikit naik semasa anda tidak sihat, ia sepatutnya tidak akan melepasi 140/90. Hanya bacaan yang melebihi 140/90 secara konsisten walaupun tiada penyakit akan didiagnosis sebagai menghidap hipertensi, terang Dr Verna. Sebab itulah penting untuk memeriksa tekanan darah dengan kerap, sama ada di rumah atau di klinik supaya anda dan doktor anda tahu apakah tekanan darah normal anda.
Bagi orang yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap hipertensi, mereka lebih berisiko tinggi untuk menghidapinya dan perlu lebih kerap mendapatkan pemeriksaan supaya tekanan darah tinggi dapat diteliti oleh doktor. Kekerapan pemeriksaan juga dapat mengesan hipertensi lebih awal, di mana perubahan gaya hidup dan rawatan berkemungkinan lebih berkesan.
Sementara itu, orang yang sudah pun didiagnosis menghidap hipertensi, perlulah mempunyai alat untuk memantau tekanan darah di rumah. Berbincanglah dengan doktor anda mengenai kekerapan pemeriksaan tekanan darah yang perlu anda lakukan supaya doktor dapat menyemak dan memerhati jika keadaan anda diurus dengan baik.
2. Ambil perhatian akan perkara yang boleh menaikkan BP anda
“Hipertensi, iaitu tekanan yang meningkat, terjadi apabila saluran darah makin sempit yang mana meningkatkan daya tahan. Apabila ini berlaku, ia memaksa jantung bekerja lebih keras untuk meningkatkan jumlah dan mengekalkan aliran darah yang mencukupi ke semua organ-organ utama.
Banyak penyebab kenapa ini berlaku, antaranya pengambilan garam yang tinggi, obesiti dan gaya hidup yang tidak aktif. Walaupun kebanyakan orang menyedari yang mereka perlu mengurangkan pengambilan garam, bersenam dan mengekalkan berat badan sihat, terdapat juga perkara lain yang tidak diketahui menjadi penyumbang kepada tekanan darah tinggi,” kata beliau.
Antaranya ialah:
1. Hipertensi sekunder, yang disebabkan oleh keadaan kesihatan lain. Terpaling biasa adalah apnea tidur okstruktif (OSA) yang lazimnya dialami orang yang obes.
OSA menyebabkan pesakit berhenti bernafas beberapa ketika yang membawa kepada hipoksia atau kekurangan oksigen dalam otak. Ini mencetuskan banyak tindak balas kepada badan yang mana salah satunya adalah penyempitan saluran darah. Lama-kelamaan, keadaan ini akan membawa kepada hipertensi sekunder.
Satu lagi penyebab hipertensi sekunder adalah masalah tiroid dan penyakit buah pinggang kronik, seperti radang buah pinggang. Tiroid menghasilkan hormon-hormon yang membantu mengawal banyak fungsi dalam badan, termasuklah emosi kita, tahap kecergasan, selera makan, tidur dan kadar denyutan jantung serta tekanan darah. Oleh itu, adalah penting untuk merawat kedua-dua masalah tiroid dan hipertensi supaya tahap tekanan darah dapat diuruskan dengan lebih berkesan.
2. Ubat-ubatan tertentu, seperti ubat pelega (dekongestan), yang berfungsi menyempitkan saluran darah, dan ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs), yang membawa kepada pengekalan garam dan air dalam badan, yang mana masing-masing meningkatkan tekanan darah. Walaupun pengambilan jangka pendek ubat-ubatan ini dianggap selamat, ia lebih baik diambil mengikut nasihat doktor.
3. Tabiat pemakanan. Garam adalah punca utama hipertensi. Kebanyakan daripada kita tahu kicap dan kuah dalam makanan mengandungi natrium yang tinggi. Tetapi, adakalanya makanan yang tidak begitu masin pun boleh tinggi kandungan natrium. Berita baiknya, apabila kita makan makanan yang secara semulajadinya tinggi kandungan potasium seperti pisang, kekacang dan buah-buahan sitrus, ia dapat membantu kerana mineral tersebut dapat mengawal tahap tekanan darah.
3. Bantu doktor untuk membantu anda dalam menguruskan BP anda
Kadang-kadang, pesakit tidak betul-betul berlaku jujur dengan doktor mereka, kata Dr Verna. Ada yang keberatan untuk memaklumkan suplemen herba tertentu atau ubat tradisional Cina yang mereka ambil, sementara yang lain pula takut untuk mengakui yang mereka sudah berhenti makan ubat yang ditetapkan untuk mereka oleh doktor. Lazimnya kerana mereka sudah berasa sihat atau kerana takut akan kesan sampingan.
“Membina hubungan antara pesakit dan doktor itu mengambil masa, dan menjadi kebiasaan kepada mereka untuk tidak berkongsi maklumat-maklumat tertentu semasa perjumpaan pertama. Setiap rakyat Malaysia ada cara rawatan di rumah tersendiri atau ada kawan dan ahli keluarga yang mencadangkan perubatan alternatif.
Selalunya selepas beberapa sesi konsultasi penjelasan, barulah saya dapat memahamkan mereka yang setiap perkara ada kesan sampingannya, termasuklah suplemen herba. Malah ada di antara mereka yang tidak mahu mengakui sudah menghidap hipertensi kerana berasa sihat,” kata beliau. Namun, akhirnya kesemua pesakit saya mahu tahu apa yang boleh mereka boleh lakukan untuk mengawal tekanan darah mereka.
Bersikap terbuka tentang kesihatan keseluruhan anda, sejarah hipertensi dalam keluarga dan tabiat gaya hidup akan membantu doktor anda membantu anda. Sebagai contoh, jelas Dr Verna, situasi seperti kebimbangan atau kemurungan yang boleh menjejaskan emosi seseorang sehingga membuatkan tekanan darah naik atau menjadikan hipertensi lebih sukar dikawal. Walaupun dua situasi tersebut tidak menyebabkan hipertensi, adalah penting untuk mendapatkan rawatan untuknya juga.
Doktor anda boleh membantu untuk menetapkan sasaran yang boleh diukur dengan menggunakan bacaan tekanan darah, selain membantu merancang pelan pengurusan berat badan anda. Kedua-dua perkara tersebut dapat menyokong keberkesanan ubat-ubatan yang ditetapkan untuk anda.
“Ada sinar harapan apabila kita bercakap mengenai hipertensi. Ia boleh sembuh dengan mengubah gaya hidup. Mulakan perlahan-lahan seperti menggunakan tangga dan bukannya lif, atau meletakkan kereta lebih jauh dari destinasi anda supaya anda boleh banyak bergerak dan berjalan, dan mengurangkan pengambilan sos dan kuah dalam pemakanan seharian kerana kandungan natriumnya yang tinggi. Walaupun ia memerlukan disiplin dan masa, tidaklah mustahil untuk menguruskan tekanan darah tanpa makan ubat dalam jangka masa yang panjang,” terang Dr Verna.
Sementara itu, makanlah ubat yang ditetapkan doktor anda. Penting untuk tidak mengubah dos atau kekerapan pengambilannya mengikut kehendak anda. Hipertensi adalah keadaan yang kronik dan ubat harian penting untuk mengurusnya.”
Dr Verna turut meyakinkan pesakit bahawa ada pelbagai jenis atau kelas ubat untuk merawat hipertensi. Doktor akan mencadangkan rawatan atau ubat alternatif sekiranya pesakit mengalami sebarang kesan sampingan seperti alahan, batuk, mati pucuk, sakit kepala, bengkak atau penahanan air.
Akhir sekali, Dr Verna mengingatkan pesakit hipertensi supaya tidak leka hanya kerana mereka berasa sihat.
“Doktor tidak dapat meramalkan jenis komplikasi yang mungkin anda alami. Oleh itu, rajinlah mengawal atau menguruskan paras tekanan darah anda kerana ia sangat penting. Selain itu, pastikan anda sentiasa sihat dengan mengambil makanan seimbang, cukup bersenam dan mengekalkan berat badan yang sihat,” ujarnya.
Artikel sumbangan International Medical University