Sebahagian pekerja seks yang ditahan disebuah hotel pada Jumaat lalu.

KUALA LUMPUR – Aktiviti pelacuran membabitkan wanita warga asing yang menawarkan khidmat seks untuk pelanggan tetap yang aktif di sebuah hotel di Klang di sini berjaya ditumpaskan.

Serbuan itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) hasil maklumat dan risikan pada Jumaat lalu.

Menurut sumber, Op Noda yang dilancarkan itu berjaya mencekup 11 individu membabitkan warga tempatan dan asing yang terdiri daripada penjaga premis, pekerja khidmat seks serta pelanggan.

Polis turut merampas pelbagai barangan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti persundalan itu.

Antara barang rampasan.

“Siasatan polis mendapati premis yang beroperasi di tingkat tujuh hotel ini hanya dibuka kepada pelanggan tetap yang telah membuat tempahan sahaja,” kata sumber itu ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, hotel berkenaan yang menjadi sarang pelacuran itu juga dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau segala pergerakan keluar masuk serta memudahkan pengesanan kehadiran pihak berkuasa.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay telah mengesahkan tangkapan kesemua suspek tersebut selepas dihubungi tengah hari tadi.

Menurut beliau, Bahagian D7 Bukit Aman komited untuk meneruskan operasi tergempar sebegini dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti maksiat dan pelacuran itu.

“Orang awam boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan maksiat dan pelacuran kepada kami di talian hotline 019-3764763,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.