Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa yakin penarikan rayuan berkaitan kes kalimah Allah bukan kerana Kerajaan Malaysia Madani tidak membela Islam seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya menurut beliau, keputusan berkenaan diambil untuk memelihara hak individu mendapat keadilan tanpa prejudis tetapi pada waktu yang sama tidak membawa kesan terjejasnya ketenteraman awam.

Serentak itu Mujahid yang juga Naib Pengerusi Amanah menggesa supaya keputusan tersebut tidak digunakan untuk meracuni pemikiran rakyat dan menyemai bibit kebencian atas kepentingan politik sempit pihak yang terdesak.

“Pihak yang mencetuskan isu ini tidak perlu mengheret kepada perdebatan emosi sehingga memberi peluang kepada pihak berkepentingan untuk melebarkan jurang kebencian agama sesama rakyat.

“Tidak perlu dilebarkan kepada soal “Islam tercabar” kerana ia soal teknikal perundangan pada tuntutan hak peribadi warganegara yang bukan Islam untuk tujuan pembelajarannya.

“Pada waktu yang sama tiada halangan untuk perdebatan teologi selagi ia dilakukan “bil hikmah” (hikmah) ” mauizatil hasanah” (peringatan baik) “jadilhum billati hia ahsan” (perdebatan sihat),” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, Kerajaan Malaysia Madani telah berjanji untuk menjunjung Islam sebagai Agama Persekutuan dan merancakkan lagi keberkesanan Dakwah yang penuh rahmah.

Malah kata Mujahid, Kerajaan Malaysia Madani adalah kerajaan yang terbina atas prinsip hukum yang menghormati undang-undang dan pada waktu yang sama menjunjung asas Islam sebagai agama Persekutuan.

Tambah beliau, prinsip keempat Madani iaitu hormat perlu menterjemahkan erti antara lainnya menghormati hak peribadi seseorang untuk mempelajari agama yang dianutinya selama ini.

“Ini tidak bercanggah dengan kehendak prinsip ‘tiada paksaan dalam beragamat’ kepada bukan Islam sebagai tanda menghormati hak bukan Islam.

“Perdana Menteri ketika melancarkan Malaysia Madani berkata: Madani menggalakkan prinsip saling hormat-menghormati sebagai satu norma sosial dan budaya bagi menggalakkan keterangkuman,” menurut Mujahid.

Beliau menegaskan, Keputusan Mahkamah Tinggi Mac 2021 yang memberikan hak kepada Jill Ireland untuk mendapatkan semula CD yang dirampas kerana menggunakan kalimah ‘Allah’ adalah masalah teknikaliti perundangan yang melihat sejauh mana Pekeliling Kementerian Dalam Negeri (KDN) melanggar Artikel 11 atau tidak.

Keputusan juga mengambil kira bahawa ada kawalan yang tersedia ada dalam pengecualian iaitu larangan menyebarkan agama lain dalam 11(4) dan dalam enakmen kawalan pengembangan agama lain di negeri-negeri yang telah menggubalnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam memaklumkan KDN telah mengemukakan nota kepada Kabinet berhubung membuat keputusan untuk menarik balik rayuannya berkaitan keputusan mahkamah tinggi yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain untuk tujuan pembelajaran.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast