IPOH – Seorang tukang kebun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, kerana mendera anak teman wanitanya yang berusia empat tahun, sejak April lepas.
Abdul Rahman Abdullah, 37, didakwa melakukan penganiayaan hingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa, di sebuah rumah di Taman Chateau, di sini.
Pendakwaan adalah mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dibuat di hadapan Hakim Azizah Ahmad dan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, K Darinee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh kemudian mengangguk faham dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut, bagaimanapun Darinee memohon menetapkan satu tarikh baharu bagi melengkapkan fakta kes dan laporan perubatan penuh mangsa.
Darinee bagaimanapun tidak mencadangkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh bagi mengelak tertuduh mengganggu mangsa.
Hakim Azizah kemudian menetapkan 19 Jun ini bagi menetapkan hukuman sementara menunggu laporan perubatan mangsa.
Mengikut fakta kes tertuduh sejak April telah mula memukul mangsa dengan menampar dan menumbuk di bahagian muka berulang kali, diketuk di kepala dan diterajang di badan kerana menangis dan berbuat bising.
Ibu mangsa yang juga teman wanita tertuduh berusia 34 tahun yang ada bersama ketika itu cuba menghalang tertuduh namun turut dicederakan.
Pada 12 Mei tertuduh sekali lagi telah memukul kepala mangsa menggunakan batang besi aluminium menyebabkan wanita itu tekad untuk membuat laporan polis.
Pasangan kekasih itu berkenalan sejak Februari tahun ini dan tertuduh mengajak mangsa serta dua anaknya untuk tinggal bersama. – Bernama