Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 99 kawasan di Selangor akan mengalami gangguan bekalan air Isnin depan.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Ekesekutif Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., gangguan berlaku berikutan pelaksanaan kerja-kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Jalan Bukit Cerakah, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor.

Kawasan yang terlibat merangkumi wilayah Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor bermula pukul 9 pagi 22 Mei.

Kerja-kerja pembaikan dijangka akan siap pada pukul 3:00 pagi Selasa 23 Mei.

“Bekalan air akan mula disalurkan kepada para pengguna secara berperingkat-peringkat apabila kerja pembaikan telah siap dan sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.

“Bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, 24 Mei 2023,” katanya.

Menurut beliau, kerja-kerja pembaikan kecemasan melibatkan paip saluran utama berukuran 2,200 mm diameter dan melibatkan kawasan agihan berskala besar.

“Oleh yang demikian, tempoh pembaikan dan pemulihan mengambil masa yang agak lama.

“Namun begitu, sekiranya kebocoran menjadi kritikal, kerja-kerja kecemasan pembaikan paip pecah tersebut akan dimulakan lebih awal daripada tarikh yang telah dimaklumkan,” jelas beliau.

Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

Air Selangor akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

Beliau menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Selangor ni dah memang senonim dgn putus bekalan air. takde ke cara lain yg boleh menyenangkan rakyat.

  2. ada cara nya, ko jumpa Anwar..selalu dia sembang NEGERI kedah dgn kelantan takder air..

Comments are closed.