SERDANG – Keadaan jangkitan Covid-19 dalam negara masih terkawal meskipun terdapat daerah yang diisytihar sebagai zon merah iaitu Tuaran, Sabah.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, peningkatan kes di daerah berkenaan susulan penggunaan kod kriteria pemantauan lama terhadap zon tersebut.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan supaya rakyat tidak panik dengan situasi berkenaan.
“Kes di Tuaran kita tidak perlu panik secara keseluruhan di Sabah antara kes yang jumlahnya kurang 100 setiap minggu. Dan ia dikira berdasarkan kod pemantauan yang lama,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di Taman Ekspo Agro Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam mengesahkan satu zon merah Covid-19 dilaporkan di, Tuaran berikutan peningkatan mendadak kes positif sepanjang minggu lalu.
Ujarnya, sebanyak 26 kes baharu sepanjang minggu lalu berbanding 18 kes pada minggu sebelum itu.
Sementara itu, Zaliha mengingatkan individu yang mempunyai gejala strok haba mendapatkan rawatan di hospital dengan segera.
“Kita pantau situasi strok haba ini dengan pesakit-pesakit yang bergejala masuk ke hospital. Dari awal kita sebut gejala strok haba adalah keletihan, kekejangan dan dehidrasi.
“Panduan merawatnya juga adalah berdasarkan gejala yang dialami,” katanya. – MalaysiaGazette