Mangsa terlibat dalam kemalangan membabitkan lori di Seberang Jaya, Pulau Pinang semalam.

SEBERANG PERAI – Seorang jurusensor senjata pesawat tempur Sukhoi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam kemalangan jalan raya di Seberang Jaya di sini, semalam.

Mangsa, Mejar Hendrinraj Pulvendiran dilaporkan terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah lori.

Difahamkan, mangsa yang juga penumpang kereta maut di lokasi manakala pemandu dilaporkan parah menerima rawatan di zon merah hospital Seberang Jaya.

Kereta dinaiki mangsa remuk teruk akibat kejadian tersebut.

Terdahulu, TUDM dalam satu kenyataan menyatakan Mejar Hendrinraj yang berkhidmat di Pangkalan Udara Gong Kedak sedang bertugas di Pangkalan Udara Butterworth ketika kejadian.

Kata beliau, pemergian mendiang merupakan suatu kehilangan kepada aset TUDM iaitu sumber manusia.

Jelas kenyataan itu, mendiang meninggalkan isteri, Ann Linda Anthonysamy dan seorang anak lelaki berusia dalam lingkungan tiga tahun.

Jenazah mendiang dibawa ke Seremban dan pengebumian dijadualkan berlangsung esok.

Panglima Operasi Udara turut menyantuni waris mendiang dengan menyampaikan ucapan serta surat takziah dan sumbangan kematian.

“Beliau (panglima) dan warga udara yang berada di Bangunan Pergerakan Udara telah memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.

“Kumpulan pengusung turut memberikan penghormatan dan mengusung keranda menaiki kenderaan untuk dibawa pulang ke kediaman keluarga di Seremban sebelum urusan pengebumian dilaksanakan dengan bantuan Pangkalan Udara Gong Kedak dan Pangkalan Udara Sendayan yang dijadualkan esok,” katanya, hari ini. – MalaysiaGazette