Razali Idris

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN) melanggar titah Raja-Raja Melayu berhubung isu penarikan balik rayuan kes kalimah Allah.

Ketua Penerangan Bersatu, Senator Datuk Razali Idris mendakwa, tindakan tersebut merupakan pelanggaran titah Sultan Johor dan Sultan Selangor sebelum ini.

“Bersatu Malaysia amat dukacita atas keputusan Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah melanggar titah perintah KDYMM Sultan Johor dan Selangor sebagai Ketua Agama Islam Negeri yang menjadi asas rayuan semula ke atas keputusan Mahkamah Tinggi difailkan.

“KDN juga telah membelakangkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) pada tahun 2008 yang memutuskan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam,” katanya.

Bersatu berpendapat Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai hak untuk membuat keputusan menarik balik rayuan tanpa merujuk kepada Raja-Raja Melayu, Majlis Agama Islam Negeri dan jawatankuasa Muzakarah Malaysia.

Beliau turut mendakwa, kenyataan Perdana Menteri semalam bahawa keputusan itu hanya terpakai di Sarawak adalah langkah untuk mendapat sokongan bukan Melayu.

Razali mendakwa ia sebagai usaha untuk mendapatkan undi bukan Melayu pada pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

“Saya berpandangan keputusan KDN dan kenyataan PM adalah bercelaru in desperate move untuk elak Sarawak dan Sabah tarik sokongan pada Kerajaan Madani sehingga sanggup bakul sampahkan tatakelola dengan membelakangkan Raja-Raja Melayu (Ketua Agama).

“Dengan keputusan politik tersebut, saya perpendapat PM juga menjangka peroleh sokongan maksimun pengundi bukan Melayu Islam kepada Pakatan Harapan dalam pilihan raya di enam negeri Semenanjung tidak lama lagi terutama Penang, Selangor dan Pulau Pinang supaya kekal memerintah,” dakwanya.

Razali mendesak Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyatakan pendirian jelas dan tegas bagi mempertahankan segala usaha atas titah perintah Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri.

Ia bagi memastikan isu kalimah Allah, baitullah, kaabah solat dan perkara-perkara yang menjadi asas syariat Islam terus dipertahankan sesuai dengan peruntukan Perlembagaan dan majoriti rakyat beragama Islam. – MalaysiaGazette