Onn Hafiz berucap di Forum Perniagaan Johor - Korea 2023 yang diadakan di Hotel DoubleTree by Hilton, di sini hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor bersedia untuk menyelesaikan beberapa isu  membabitkan kepentingan awam yang membelenggu rakyat sejak sekian lama.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata,  masalah itu akan dapat diselesaikan selewat-lewatnya tahun depan.

Antara isu itu termasuklah jalan berlubang, jaringan internet dan juga kesesakan yang kerap berlaku di Tambak Johor dan LinKedua.

Beliau berkata, agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri sedang bekerjasama dalam memastikan perkara itu terlaksana selari dengan inisiatif Johor Maju 2030.

“Baru-baru ini, saya semakin dikenali ramai bukan disebabkan rupa yang ‘handsome’ tetapi kerana video yang dimuat naik saya di media sosial dalam telah tular dan usaha menyelesaikan kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Kita juga akan memberikan fokus kepada kerja membaik  pulih jalan raya berlubang di negeri ini, serta jaringan internet, kita usaha atasi selewat-lewatnya tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Perniagaan Johor – Korea 2023 yang diadakan di Hotel DoubleTree by Hilton, di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han; Duta Besar Korea ke Malaysia, Yeo Seung-bae.

Ia turut disertai 60 delegasi Korea Selatan terdiri daripada komuniti usahawan.

Onn Hafiz memberitahu, usaha keras yang cuba ditunjukkan pihaknya telah berjaya mengurangkan sehingga 30 minit tempoh perjalanan pengembara yang berulang alik dari Johor ke Singapura untuk bekerja di republik itu, setiap hari.

Menteri Besar itu dilihat aktif melakukan lawatan kerja ke CIQ di BSI dan juga KSAB secara konsisten sejak dua bulan lalu  dalam memastikan proses merentas sempadan antara kedua-dua negara lancar.

Sikap Onn Hafiz yang suka turun padang secara mengejut itu juga mendapat maklum balas positif daripada masyarakat awam.

Kebanyakan mereka berharap usaha itu disambut baik oleh kakitangan kerajaan yang menggerakkan perkhidmatan di kompleks berkenaan sekali gus membolehkan masalah kesesakan boleh diatasi.-MalaysiaGazette