Iskandar Ishak (tengah) bersama hasil rampasan rokok yang cuba diseludup masuk dari negara jiran bernilai RM2.95 juta di perairan Selangor, kelmarin.

ALOR GAJAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpaskan cubaan sindiket menyeludup masuk rokok kretek dari negara jiran bernilai RM2.95 juta di perairan Selangor, kelmarin.

Pengarah Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, dalam Ops Murni dan Op Tiris pada pukul 11.30 malam itu, pihaknya merampas hampir 4.7 juta batang rokok.

Menurutnya, ia selepas sepasukan anggota Maritim Malaysia mengejar sekumpulan tiga anggota sindiket yang menaiki sebuah bot pancung berkapasiti 1,200 kuasa kuda dipercayai dari negara jiran yang dikesan dalam keadaan mencurigakan menuju Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Selangor.

“Sejurus menerima maklumat tersebut, aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan Ops Murni dan Op tiris telah diatur gerak ke lokasi.

“Sebaik tiba, bot suspek telah cuba melarikan diri namun berjaya dipintas pasukan operasi di kedudukan 0.07 batu nautika barat daya Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Selangor pada kira-kira pukul 1.30 pagi.

“Tiga suspek bot pancung terbabit bagaimanapun gagal ditangkap selepas mereka terjun ke laut dan meloloskan diri ke kawasan paya bakau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, risikan awal mendapati sindiket yang beroperasi sejak setahun lalu itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penyeludupan rokok bernilai RM3.3 juta di Tanjung Gabang, Selangor pada 13 April lalu.

Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu menyeludup masuk rokok ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan. – MalaysiaGazette