Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas meninggalkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setelah selesai memberi keterangan berhubung projek Jana Wibawa di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 09 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui menawarkan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Muhyiddin berkata jawatan tersebut akan diberikan kepada Khairy sekiranya bekas Menteri Kesihatan itu mahu menyertai Bersatu.

“Saya dan dia (Khairy) sudah berbincang hal ini agak lama, sejak dia dipecat. Ketika itu dia ajak saya berjumpa dan berbincang secara terbuka mengenai hala tuju dan ketokohan beliau sebagai ahli politik muda yang berkaliber.

“Sebenarnya, dia tidak mohon untuk masuk (Bersatu) tetapi saya tawar dia menyertai kami. Tawaran masih ada dan saya ada bertanya lagi (perkembangan menyertai Bersatu) ketika dia menghadiri rumah terbuka saya tempoh hari.

“Khairy bagaimanapun belum memberi sebarang keputusan.

“Saya rasa tidak mengapa, kita tidak mahu menggesa dia tetapi kami berharap dia menyertai Bersatu dan bantu membina kekuatan parti,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Geran Penyelidikan Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) 2.0 di ibu negara, hari ini.

Presiden Bersatu itu juga berkata pihaknya tidak akan memberikan tekanan kepada Khairy dan memberikan masa kepada beliau untuk membuat keputusan.

“Kita serahkan kepada Khairy. Bila dia hendak buat keputusan, terpulang kepada dia.

“Kita tidak menggesa sangat, dia bijak dan tahu bila masanya untuk menyertai parti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, proses pembahagian kerusi bagi gabungan itu sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sudah hampir selesai.

“Ada beberapa kerusi lagi yang masih belum diselesaikan dan kita akan minta senarai calon yang sesuai,” kata Muhyiddin lagi.

Ditanya mengenai calon Menteri Besar dan Ketua Menteri, Muhyiddin berkata pihaknya telah menyenarai pendek nama calon namun belum dibawa ke meja rundingan.

“Ada dalam pemikiran kita tetapi kita tidak bincang lagi kerana bagi saya kita hendak selesaikan soal kerusi dan calon yang bakal bertanding di DUN (terlebih dahulu).

“Bila masa sesuai kita akan bincang siapa bakal calon Menteri Besar dan Ketua Menteri.

“Kemungkinan kita umumkan bila menang nanti. Siapa yang layak dan diperkenankan oleh Sultan kita akan hantar nama,” jelas Muhyiddin lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast