Terowong Genting projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Pahang yang membina sebuah laluan kereta api baru yang akan menghubungkan negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang ketika di Jalan Lama Kuala Lumpur- Bentong, Pahang. Foto MUHD NA’IM, 11 APRIL 2023..

KUANTAN – Pemasangan rel pertama bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dijalankan akhir tahun ini bermula dari laluan Gebeng, Kuantan menghala ke Dungun, Terengganu.

Pengurus Pembinaan Wilayah (Pahang) Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Khairi Khalid Abdul Rahman berkata, kerja-kerja itu melibatkan laluan sepanjang 90 kilometer (km) dan dijangka mengambil masa tiga bulan setengah hingga empat bulan.

Khairi Khalid Abdul Rahman

”Kerja pemangsang rel pertama bermula di Pahang. Kerja-kerja pemasangan diteruskan dari Gebeng ke Maran pula dijangka bermula April tahun hadapan.

“Pemasangan rel bergantung kepada kerja-kerja infra. Kita menjangkakan pemasangan landasan sepanjang 1.5 km sehari bagi laluan Gebeng ke Dungun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama ECRL di Kuantan hari ini dan meraikan 30 anak yatim daripada Permata Al-Kauthar Muqarrabin.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurutnya, kerja pemasangan ini bermula di Gebeng mengikut perancangan projek dan material yang digunakan termasuk mesin pemasangan landasan dari China yang tiba di Pelabuhan Kuantan.

Dalam perkembangan sama, katanya, kerja-kerja pembinaan projek ECRL di laluan Pahang kini berada pada tahap 43 peratus dan yakin ia mampu menyiapkan projek itu  pada tahun 2026.

”Sehingga bulan April 2023, projek ini telah mencapai kemajuan 43 peratus di Pahang berbanding keseluruhan perkembangan projek 43.5 peratus.

”Progres di Pahang sangat menggalakakan, walaupun ada sedikit perlahan semasa Covid-19. Namun kita yakin ia boleh dicapai sepenuhnya pada penghujung 2026 dan jangkaan boleh beroperasi 1 Januari 2027,” jelasnya.

ECRL merupakan projek sepanjang 665 km yang merentasi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor yang mana jajaran 231 km terletak dalam negeri Pahang. –  MalaysiaGazette