Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ruang udara Langkawi akan ditutup bermula 18 hingga 27 Mei ini sempena program Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2023 (LIMA ’23).

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Kapten Norazman Mahmud mengingatkan orang ramai bahawa pengoperasian dron di Langkawi adalah dilarang sepanjang tempoh itu.

Ia bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini terutamanya membabitkan aspek keselamatan dan sekuriti orang ramai serta pesawat yang sedang beroperasi di ruang udara Langkawi.

Penggunaan dron tanpa kelulusan dikhuatiri akan mengganggu latihan dan pertunjukan udara sepanjang penganjuran LIMA ’23.

“Sebarang aktiviti penerbangan termasuk pengendalian aktiviti dron yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda adalah tertakluk di bawah Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969 [Akta 3], Peraturan 98 dan Peraturan 140-144 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs),” tegasnya. – MalaysiaGazette