Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Polis Johor dalam proses melengkapkan kertas siasatan terhadap pengasuh sebuah taska swasta yang disyaki mendera dua bayi di Mutiara Rini, Skudai di sini, sebelum menyerahkannya kepada pihak pendakwa raya.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, reman terhadap wanita berusia 21 tahun itu juga akan disambung memandangkan tempoh reman empat hari yang dibenarkan sebelum ini tamat esok.

“Kita akan sambung reman memandangkan reman akan tamat masa terdekat (esok). Siasatan masih lagi dijalankan dan kita akan lengkapkan kertas siasatan untuk dapatkan beberapa bukti lagi.

“Apabila selesai siasatan termasuk laporan perubatan (terima), kita akan bawa kertas siasatan ke pihak pendakwa raya untuk mendapatkan nasihat lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Berangkat ke majlis itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan dua anakandanya, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Seriausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Pada masa sama, ketika ditanya mengenai dakwaan video dera yang tersebar di media sosial itu adalah video lama, beliau berkata, polis masih mengkaji video berkenaan.

“Pasal itu (video lama), kita akan siasat dulu dan akan kaji bila video (kejadian) itu. Lihat pada penyebarannya macam benda baharu. Bagaimanapun, kita akan teliti lagi,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada laporan polis baharu dibuat oleh ibu bapa berhubung kes dera sama ada membabitkan suspek yang sama atau sebaliknya.

“Buat masa ini tiada (laporan polis baharu), tetapi akhir-akhir ini kita dapati memang ada beberapa kejadian (dera) yang berlaku, tetapi yang ada laporan polis, kita sudah siasat,” jelasnya.

Isnin lalu, tular di laman media sosial dua video berdurasi 48 saat dan 39 saat memaparkan seorang wanita mengasari seorang bayi.

Pengasuh taska swasta yang ditahan kira-kira jam 2 pagi kelmarin kemudian ditahan reman empat hari sehingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast