Mohammad Adam (tengah) dijatuhkan hukuman penjara atas pertuduhan menghantar komunikasi bahan lucah di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang mekanik sambilan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen. di sini, hari ini atas pertuduhan menghantar dan memulakan komunikasi bahan lucah menerusi aplikasi MeWe pada 2020.

Tertuduh, Mohamad Adam Mohad Ali, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Adam didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar lucah dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi MeWe serta nama akaun ‘Dadu Sp’ dipautan https://mewe.com/i/daddysunyi.

Mohamad Adam (tengah) dipenjara selepas gagal membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

Perbuatan itu dilakukan di belakang 351 (U-I) Mukim D Jalan Baru, Balik Pulau di sini jam 12.30 tengah hari pada 3 Disember 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim kemudian menetapkan penjara selama empat bulan susulan tertuduh mengaku tidak mampu membayar denda RM7,000 yang dikenakan terhadapnya berikutan berpendapatan RM800 sebulan selain berstatus duda yang perlu menanggung tiga anak berusia empat hingga 11 tahun. – MalaysiaGazette