Gambar hiasan

KEBERSIHAN tangan merupakan perkara yang bersifat kritikal bagi mencegah penyakit penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bacteria, virus mahu pun fungus.

Penyelidikan University of Pittsburgh, Amerika Syarikat mendapati kuman yang biasanya terdapat pada najis telah ‘mencemarkan’ 10 peratus kad kredit, 14 peratus wang kertas dan 16 peratus telefon bimbit seseorang.

Jururawat Kawalan Jangkitan Hospital Pakar KPJ Perlis, Zamzila Mahat berkata, amalan mencuci tangan yang betul adalah perkara yang paling mudah dapat dilakukan bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit dalam kalangan semua peringkat umur.

“Hakikatnya, tangan kita mungkin kelihatan bersih tetapi tidak bermakna ia bebas dari mikrooganisme yang berbahaya. Membasuh tangan dengan sabun dan air adalah merupakan cara yang paling terbaik bagi menyingkirkan kotoran, bakteria atau virus daripada permukaan kulit.

JURURAWAT Kawalan Jangkitan Hospital Pakar KPJ Perlis, Zamzila Mahat

“Malah tangan yang bersih dapat mengelakkan penyebaran mikro organisma individu kepada individu yang lain. Sebaiknya, budaya membasuh tangan hendaklah dipraktikkan dari awal lagi terutamanya dikalangan kanak-kanak.

Dalam pada itu, Zamzila berkata, kanak-kanak sebenarnya lebih mudah terdedah penyakit berjangkit kerana kurang berhati-hati ketika menggosok mata atau mengesat hidung selepas menyentuh benda atau individu lain.

“Mereka perlu dididik mengenai kepentingan membasuh tangan yang betul terutama sebelum makan dan selepas penggunaan tandas.

“Amalan ini amat penting di setiap tempat terutamanya di pusat jagaan kanak-kanak kerana kanak-kanak mudah terdedah kepada penyakit berjangkit yang mana merebak semasa bergaul sesama mereka,” ujarnya.

Zamzila berkata, walaupun seseorang itu sihat mereka perlu terus mengamalkan amalan membasuh tangan dengan cara yang betul bagi mengelakkan sebarang jangkitan penyakit kerana kuman sentiasa berada dimana-mana.

Info

Enam langkah membasuh tangan dengan cara yang betul menggunakan sabun dan air.

– Gosok tapak tangan

– Gosok setiap jari dan celah-celah jari

– Gosok kuku di tapak tangan

– Gosok belakang tangan

– Bilas dengan air bersih yang mencukupi dengan sempurna

– Keringkan tangan dengan tisu atau tuala yang kering dan bersih

Waktu perlu mencuci tangan?

– Sebelum, semasa dan selepas menyediakan makanan

– Sebelum makan

– Sebelum dan selepas merawat seseorang di rumah yang sakit dengan muntah atau cirit-birit

– Sebelum dan selepas merawat luka

– Selepas menggunakan tandas

– Selepas menukar lampin atau membersihkan anak menggunakan tandas

– Selepas menyentuh haiwan, makanan haiwan atau sisa haiwan
– Selepas mengendalikan makanan haiwan atau makanan haiwan peliharaan

– Selepas menyentuh sampah

– Sekiranya tangan anda kelihatan kotor atau berminyak

– Selepas menghembus hingus, batuk atau bersin

– Selepas mengendalikan bahan yang beracun dan berbahaya. – MalaysiaGazette