Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bergambar kenangan bersama peserta dalam dalam Majlis Pelancaran Program Literasi Pertahanan Nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

KOTA KINABALU – Demi meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat mengenai peranan masing-masing dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara, Kementerian Pertahanan (MINDEF) melaksanakan Program Literasi Pertahanan Nasional sebagai inisiatif bagi usaha terbabit.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program tersebut disifatkan penting bagi mengubah persepsi bahawa tanggungjawab mempertahankan negara hanya terletak kepada pasukan keselamatan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bentuk ancaman terhadap negara kini adalah berbeza dan tidak lagi terhad kepada ancaman ketenteraan secara konvensional.

“Pertahanan hari ini sudah sangat berbeza. Ancaman yang kita hadapi pula sentiasa berubah. Jadi, kita juga mesti mengubah pemahaman tersebut.

“Paling penting, kita mesti sedar bahawa tanggungjawab memelihara kedaulatan negara tidak lagi boleh dikhususkan kepada pasukan pertahanan atau angkatan tentera secara bersendirian.

“Pertahanan dan kedaulatan negara sudah dan mesti menjadi tanggungjawab moral yang mesti digalas oleh semua pihak,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Literasi Pertahanan Nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beramah mesra dengan peserta program sempena Majlis Pelancaran Program Literasi Pertahanan Nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman; Ketua Eksekutif Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS), Laksamana Madya Datuk Yusne Mokhtar; Setiausaha Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shaminan Awang Ashaari dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah, Datuk Yahya Sulaiman.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut berkata literasi pertahanan juga perlu dilihat sebagai satu bentuk kesedaran, ilmu dan kemahiran yang perlu dimiliki setiap warganegara selain menjadi nilai bersama dalam usaha memperkukuh ketahanan negara.

Menurutnya lagi, masyarakat perlu memahami kaitan pertahanan negara dengan kehidupan seharian termasuk kesan aktiviti mereka terhadap keselamatan negara serta cara untuk menyumbang kepada usaha terbabit.

“Ia sebetulnya adalah satu anjakan minda, satu panggilan kesedaran bahawa pertahanan negara bukanlah milik eksklusif warga beruniform sahaja,” katanya.

Beliau berkata antara peranan masyarakat adalah mengambil peduli isu pertahanan, memahami rasional dasar kerajaan, mengelakkan penyebaran fitnah atau kandungan yang boleh mencetuskan kepanikan serta tidak mudah terpengaruh dengan propaganda dan provokasi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Program Literasi Pertahanan Nasional di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Disamping itu, beliau turut menegaskan ancaman terhadap kedaulatan negara juga boleh berlaku melalui ruang digital termasuk komputer riba, telefon bimbit, platform digital dan media sosial jika digunakan secara tidak matang atau tidak berhati-hati.

Sementara itu, dalam satu sidang media yang dilakukan selepas program, Mohamed Khaled memaklumkan negeri Sabah dipilih sebagai lokasi pertama pelaksanaan Program Literasi Pertahanan Nasional sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

“Kita memilih negeri Sabah sebagai lokasi pertama pelaksanaan dan tempat meluncurkan program ini. Insya-Allah, selepas ini ia akan dianjurkan di seluruh negeri di dalam negara.

“Sebelum ini, program seumpama ini di peringkat komuniti memang belum pernah diadakan,” katanya.

Katanya, pemilihan Sabah mengambil kira kedudukan negeri itu yang bersempadan dengan dua negara jiran serta berdepan cabaran keselamatan di Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Katanya, selain peranan ATM dalam memastikan pertahanan dan kedaulatan negara, ketahanan masyarakat turut perlu diperkukuh bagi mewujudkan daya rintang pertahanan yang kredibel.

“Apabila rakyat mempunyai daya tahan yang tinggi di samping peranan optimum yang dimainkan oleh angkatan tentera, negara kita akan mampu mewujudkan daya rintang yang kredibel. Usaha ini perlu diteruskan secara berterusan,” katanya.

Program Literasi Pertahanan Nasional diterajui Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Sekitar 700 orang peserta melibatkan kakitangan awam kerajaan negeri Sabah dan Persekutuan, pelajar dan pendidik institusi pendidikan, anggota tentera serta veteran ATM yang menghadiri program terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here