Anwar Ibrahim. Foto MUHD NA’IM, 14 MEI 2023.

IPOH – Kerajaan Perpaduan akan terus mencari kaedah bagi memastikan subsidi diberikan secara adil kepada golongan sasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan B40 merupakan golongan yang akan terus diberi perhatian dalam pemberian subsidi.

“Minyak misalnya, orang miskin naik motor kita subsidi, orang kaya naik Mercedes pun kita bagi subsidi, kita cari kaedah, yang miskin kita jangan kacau, yang kaya pendapatan RM50,000 sebulan, RM100,000 sebulan, bayar lah, jadi itu tetap jadi dasar kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Ahli Jawatankuasa Masjid dan Surau Parlimen Tambun di Institut Tadbiran Islam (INTIM) Perak, di sini, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun menunaikan solat Asar berjemaah di Masjid Sultan Azlan Shah, INTIM.

Sementara itu, Anwar mempertahankan keputusan untuk pengenaan caj tarif elektrik sebenar pada pengguna yang menggunakan elektrik berlebihan, yang katanya tidak menjejaskan 80 peratus pengguna.

“Tetapi kalau tak naik sama sekali pun masalah, kerana susbsidi terlalu tinggi kalau kos RM10, kerajaan tanggung RM5.

Jadi kita ambil keputusan jangan ganggu B40, M40, 80 peratus tidak dibebankan, yang kita kenakan hanya T20, itu pun untuk bayar kos sahaja, bukan kerajaan ambil untung,” kata Anwar.

Dalam pada itu, Anwar berkata, selaku Ahli Parlimen Tambun, beliau akan menambah peruntukan bagi masjid dan surau bagi kegiatan penduduk.

“Bagi permohonan untuk besarkan masjid dan surau, saya ingat mudah bawa permohonan bawa ke pejabat daerah biar mereka selaraskan kemudian diangkat ke pejabat parlimen itu jadi mudah,” katanya. – Bernama