Foto: FB Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hari ini  mencadangkan agar Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menambah gerabak dan kekerapan bagi perkhidmatan tren Shuttle Tebrau, di sini, ke Stesen Woodlands, Singapura.

Cadangan itu difahamkan telah diutarakan kepada pihak KTMB dalam lawatan beliau ke stesen Johor Bahru Sentral pagi tadi.

Turut serta dalam lawatan tersebut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

“Saya telah mencadangkan kepada pihak KTMB dua perkara. Pertama, tambahan coach (gerabak) supaya boleh ditambahkan penumpang terutamanya semasa waktu puncak.

“Kedua, menambah kekerapan perkhidmatan keretapi terutamanya pada waktu puncak. Semoga dipermudahkan segala urusan,” kata beliau dalam satu hantaran ringkas di Facebook rasmi Menteri Besar Johor, hari ini.

Perkhidmatan tren KTMB Shuttle Tebrau ke Stesen Woodlands, Singapura kembali beroperasi pada 19 Jun tahun lepas setelah lebih dua tahun tidak beroperasi kerana penutupan sempadan antarabangsa disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan COVID-19. – Bernama