Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) Ke-14 China, Zhao Leji melintasi kawalan kehormat setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1RRD) sejurus tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memulakan lawatan kerja selama tiga hari ke Malaysia bermula hari ini.

SEPANG – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China ke-14, Zhao Leji tiba di sini hari ini untuk memulakan lawatan kerja tiga hari ke Malaysia.

Pesawat Air China membawa Zhao bersama delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pada 8.15 pagi ini.

Ketibaan mereka disambut Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng and Ketua Protokol Kementerian Luar Mohd Aini Atan.

Zhao kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 26 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai Kapten Mohd Hafeez Abdul Halim.

Malaysia merupakan negara terakhir Zhao dalam lawatan tiga negara selepas Maghribi dan Senegal.

Penggubal undang-undang tertinggi China itu dijadual mengadakan mesyuarat delegasi dua hala dengan Speaker Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul dan Speaker Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim hari ini.

Ketika lawatannya, beliau dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga akan ke Melaka sebagai sebahagian daripada lawatannya termasuk melawat Jonker Walk, Muzium Warisan Baba dan Nyonya serta Selat Melaka sebelum berlepas pulang ke Beijing pada Sabtu.- BERNAMA