Polis sedang melakukan pemeriksaan terhadap pengunjung di sebuah pusat hiburan di Jalan Magazine, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Bagi mengelak diberkas polis, puluhan pengunjung pusat hiburan di Jalan Magazine, di sini, sanggup bersembunyi di tangki air.

Bagaimanapun, tindakan mereka gagal selepas kesemua yang melarikan diri itu berjaya dikesan pihak polis dalam operasi bermula jam 1.30 pagi tadi.

Selain itu, dua wanita hamil antara ditahan dalam cubaan melarikan diri ke tangki air yang terletak di tingkat 22 bangunan berkenaan.

Dua wanita hamil antara cuba melarikan diri ke tangki air untuk elak diberkas polis.

Operasi yang diketuai Pegawai Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Asisten Superintendan Ahmad Hasbi Mohd Fauzi turut membongkarkan laluan tikus yang digunakan pengunjung untuk melarikan diri sekiranya pusat hiburan terbabit diserbu polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kira-kira 49 pengunjung ditahan untuk pemeriksaan dalam serbuan itu.

Soffian.

Jelas beliau, hasil ujian air kencing mendapati 24 individu daripada jumlah keseluruhan pengunjung itu positif dadah.

“Dalam serbuan tersebut, dua individu tempatan ditahan atas kesalahan menggajikan pekerja warga asing tanpa permit sah

“Turut ditahan lima wanita warga asing yang didapati melanggar syarat pas lawatan sosial dan bekerja sebagai pelayan.

Antara laluan tikus digunakan pengunjung untuk melarikan diri.

“Kita juga menahan dua lelaki dan tiga wanita warga asing kerana tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Operasi tersebut dilakukan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Timur Laut, Balai Polis Jalan Patani, Balai Polis Pulau Tikus serta Balai Polis Jelutong.

Tambah Soffian, kesemua tangkapan berusia 25 hingga 50 tahun itu dibawa ke IPD Timur Laut untuk siasatan lanjut.

24 daripada keseluruhan pengunjung didapati positif dadah.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 manakala bagi kesalahan dadah pula mengikut Seksyen 15(1)(a) 1952 Akta Dadah Berbahaya.

“IPD Timur Laut sememangnya komited dalam usaha mencegah kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah. Justeru, operasi serta pelbagai langkah pencegahan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast