KUANTAN – Tiga beradik orang kurang upaya (OKU) tinggal sehelai sepinggang setelah rumah pusaka tinggalan ibu bapa mereka di Kampung Rumbia, Beserah, di sini, terbakar semalam.
Dalam kejadian jam 5.58 petang, ketiga-tiga mangsa yang berada dalam rumah berjaya menyelamatkan diri.
Menurut seorang ahli keluarga, Nurul Aina Fitrah Abd Rani, 28, ketika kejadian beliau sedang bekerja dan hanya mengetahui insiden itu apabila dimaklumkan oleh kakak sulungnya melalui Whatsapp lalu bergegas pulang.
Beliau berkata, setibanya di rumah, kakak dan dua adiknya yang berstatus OKU telah berada di luar rumah.
“Adik lelaki yang berada di dalam bilik melihat asap lalu keluar memberitahu kakak sebelum kakak keluar menjenguk melalui tingkap dan mendapati suis elektrik sedang terbakar.
“Kakak kemudian masuk semula ke dalam rumah dan menarik dua adik keluar melalui pintu dapur. Dengan bantuan saudara-mara tinggal berdekatan terus menghubungi pihak bomba,” katanya.
Nurul Aina Fitrah berkata, beliau mempunyai tujuh adik beradik dan lima daripadanya adalah OKU.
Mereka kehilangan ibu bapa pada 24 April tahun lalu dan 18 Mac lalu.
Selepas ibu bapanya meninggal, Nurul Aina Fitrah menggalas tanggungjawab menjaga tiga adik-beradiknya yang berstatus OKU, manakala dua adiknya dijaga oleh kakak sulung, Nur Azuraida, 40, yang tinggal di Klang, Selangor.
Berikutan insiden itu, Nur Azuraida akan mengambil alih tugas menjaga lima adik-beradik OKU mereka iaitu Mohd Amir Azwan, 20, Mohd Akmal Hakimi, 24, Mohd Iskandar, Siti Nurul Asyikin, 35 dan Asrul Nizam, 38.
Nur Azuraida akan membawa mereka semua tinggal bersamanya di Klang manakala Nurul Aina akan menumpang di rumah saudara berdekatan kerana perlu bekerja di Kuantan.
Kejadian yang menimpa keluarga mendapat perhatian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beserah, Andansura Rabu.
Andansura berkata, beliau akan berusaha mendapatkan bantuan bagi meringankan beban mereka.
Selain itu, pihaknya becadang untuk mengadakan gotong-royong membersihkan rumah mangsa dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette