Datuk Shahelmey Yahya

KUALA LUMPUR – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan menambah janakuasa mudah alih atau genset sebagai usaha menyelesaikan masalah bekalan elektrik yang terhad di negeri berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, jaminan syarikat tersebut merupakan penyelesaian jangka masa pendek yang diharap dapat membantu rakyat dalam masa terdekat supaya tidak lagi berhadapan dengan catuan bekalan elektrik.

“Kita dimaklumkan bahawa pihak SESB terus berusaha untuk mengurangkan masalah gangguan bekalan elektrik ini dengan menambah unit genset bagi menambah kapasiti yang diperlukan. Ini bagi meringankan masalah semasa.

“Ianya sebahagian daripada langkah jangka pendek sementara menanti penyiapan loji bekalan kuasa tenaga yang sedang dibina dan dalam perancangan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam masa yang sama, beliau berharap pihak yang berkaitan akan bekerjasama dengan SESB untuk mempercepatkan pelaksanaan penambahan genset.

Katanya, pemantauan terhadap risiko berlakunya gangguan bekalan elektrik pada masa akan datang juga perlu dilakukan secara tuntas.

“Memandangkan keperluan tenaga semakin meningkat dari semasa ke semasa, kita menyeru pihak-pihak yang terlibat untuk mempercepatkan pelaksanaan bekalan tenaga yang sepatutnya dilaksanakan dan juga menggiatkan pemantauan terhadap risiko-risiko gangguan bekalan elektrik yang ada sekarang,” jelasnya.

Terdahulu, Shahelmey mewakili Kerajaan Negeri Sabah meluahkan rasa kecewanya terhadap kemelut catuan bekalan elektrik yang berlarutan sejak April yang lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjong, Justin Wong mendakwa mendapat maklumat daripada wakil SESB bahawa bekalan tenaga elektrik tidak mencukupi berbanding penggunaan semasa yang meningkat di seluruh Sabah ekoran cuaca panas.

Selain itu katanya, pengeluar tenaga bebas (IPP) milik pihak itu mengalami kerosakan sehingga mengakibatkan kekurangan bekalan elektrik untuk disalurkan kepada pengguna.

Rata-rata penduduk Sabah meluahkan ketidakpuasan hati terhadap situasi berkenaan sejak kebelakangan ini yang dilihat tidak menemui jalan penyelesaian. – MalaysiaGazette