Arshad Abu

ALOR GAJAH – Terpedaya dengan pulangan RM10,000 selepas enam jam membuat pelaburan, seorang lelaki kerugian lebih RM130,000 selepas menjadi mangsa terbaharu sindiket penipuan di negara ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa pesara swasta berusia 57 tahun sebelum itu terlihat iklan pelaburan crypto atas talian ketika melayari media sosial, Facebook di rumahnya kira-kira jam 3 petang 2 Mei lalu.

Menurutnya, iklan itu menawarkan keuntungan RM10,000 tempoh enam jam dengan hanya bermodalkan RM1,000.

“Mangsa bagaimanapun membuat penambahan modal ke dalam nombor akaun sama selepas diminta jika mahu memperolehi keuntungan yang lebih besar.

“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa kemudian telah membuat pemindahan wang simpanan persaraannya secara berperingkat sehingga berjumlah RM132,407 dalam tempoh 3 Mei hingga 11 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Tambahnya, bekas penyelia itu hanya menyedari menjadi mangsa penipuan selepas tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan sehingga ke hari ini sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Alor Gajah, Selasa lalu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette.