TAIPING – Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita dan merampas ganja bernilai RM153,260 di Kampung Paya, Kamunting di sini, kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, tangkapan dan rampasan dadah itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dalam beberapa siri serbuan.
“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak Jun tahun lalu dan dadah yang dirampas untuk pasaran tempatan.
“Secara keseluruhan kita merampas ketulan mampat ganja seberat 48.446 kilogram (kg) bernilai RM153,260.
“Turut dirampas tiga kenderaan dan seutas rantai bernilai RM67,670,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, kesemua suspek negatif dadah dan tidak mempunya rekod jenayah lampau.
“Kesemua suspek berusia lingkungan 35 hingga 39 tahun itu direman sehingga 23 Mei ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – MalaysiaGazette