KUALA LUMPUR – Catuan elektrik di Sabah dijangka berlarutan sehingga Julai ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.
Menurutnya, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) sedang melaksanakan pelan jangka pendek dengan menambah jana kuasa mudah alih (genset) bagi menampung keperluan elektrik semasa di negeri itu.
“Jadi kita berharap pengguna bersabar. Langkah ini bertujuan agar bekalan kuasa di grid terkawal dan mengelakkan kejadian tidak diingin berlaku dan untuk pastikan semua mendapat bekalan elektrik,” katanya ketika sidang media selepas mengadakan lawatan Sabah Load Despatch Centre (SLDC) SESB di Penampang, hari ini.
Katanya, sebanyak 17 lagi genset akan diperoleh oleh SESB dalam masa terdekat.
Dalam masa yang sama, Shahelmey berharap agar prosea memuktamadkan pembinaan jana kuasa di Kimanis akan disegerakan.
“Projek jana kuasa di Kimanis belum dimuktamadkan, jadi saya minta Suruhnajaya Tenaga mempercepatkan projek itu dengan segera. Begitu juga projek Southern Link yang belum dibuat, dalam perancangan sebab memerlukan keputusaan.
“Jadi saya merayu pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek jana kuasa di negeri Sabah memberi perhatian serius dan mempercepatkan pelaksanaannya kerana ini penting bukan hanya untuk membantu penduduk Sabah tetapi membantu pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri itu mengingatkan unit komunikasi SESB supaya membuat hebahan notis mengenai catuan elektrik secara jelas kepada pengguna bagi persediaan awal dan mengelakkan kekeliruan.
Sebagai rekod, MalaysiaGazette difahamkan catuan elektrik di Sabah telah berlarutan sejak April yang lalu.-MalaysiaGazette