Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Satu sindiket penipuan pelaburan kad sim dengan tertangkapnya seorang lelaki dalam serbuan yang dilakukan di ibu negara, kelmarin.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, siasatan lmendapati sindiket yang didalangi lelaki berusia 32 tahun itu menawarkan pelaburan berbentuk perniagaan kad sim dan produk-produk dari syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek pasukan polis turut berjaya merampas dua unit telefon bimbit, satu keping kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan dua buku cek yang disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, setiap pakej pelaburan menawarkan pulangan bulanan yang berbeza dan dijanjikan bayaran untuk hayat.

Menurut Noorsiah, siasatan mendapati pelabur hanya menerima pulangan di peringkat awal sebelum dimaklumkan bahawa syarikat telah mengalami kerugian dan pulangan yang dijanjikan tidak dapat dibayar.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan.

“Sehingga kini, sebanyak tiga laporan polis telah diterima berkait penipuan berkenaan dengan jumlah kerugian keseluruhan RM1,452,000,” ujarnya.

Noorsiah berkata, suspek telah direman selama dua sehingga hari ini dan diberikan jaminan polis setelah tempoh reman tamat sementara kertas siasatan akan dilengkapkan untuk tindakan lanjut.

Orang ramai yang telah menjadi mangsa kepada sindiket berkenaan diminta membuat laporan di balai polis
berhampiran. – MalaysiaGazette