Muhammad Hafiz Ab. Ghani, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, hari ini atas pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan memiliki video lucah, dua tahun lalu.

ALOR GAJAH – Seorang guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan memiliki video lucah dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafiz Ab. Ghani, 39, bagaimanapun tidak mengaku bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah berkomunikasi secara seksual dengan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ketika kejadian melalui aplikasi WhatsApp.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 10.53 pagi di Batu 16, Kampung Pegoh dalam daerah Alor Gajah pada 30 Jun 2021.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tiga tahun memgikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (AKSTK)(Akta 792) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama dengan cara meraba punggung mangsa menggunakan tangan bagi tujuan seksual.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 9.40 pagi di sebuah sekolah rendah di Pegoh, Alor Gajah pada 25 November 2021.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14(a) AKSTK 2017 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana menyimpan video lucah di dalam telefon bimbit miliknya.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.30 tengah malam di sebuah rumah bernombor, Taman Bukit Tambun Perdana dalam daerah Alor Gajah pada 2 Disember 2021.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon jaminan tinggi kerana tertuduh pernah didakwa atas kesalahan sama sebelum ini.

Peguam Muhamad Nazri Abdul Hamid bagaimanapun merayu jaminan rendah kerana tertuduh kini bertugas sebagai pembantu pengurusan pentadbiran di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dengan pendapatan RM4,000 sebulan perlu menanggung kedua ibu bapanya.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin bercagar selain tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 19 Jun ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast