SEPANG – Sebanyak 10 Kaunter Khas Imigresen disediakan untuk jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, jumlah kaunter khas ini ditambah daripada bilangan sebelum ini iaitu enam bagi memudahkan jemaah haji untuk melalui proses imigresen sebelum berangkat ke Makkah.

Dalam masa yang sama beliau berkata, seramai 31 pegawai Imigresen akan ditempatkan di Kaunter Khas setiap hari bermula Ahad sehingga 21 Jun nanti.

“Di mana pihak JIM telah bersedia dengan kaunter di mana buat masa ini ada enam kaunter saya minta ditambah empat, jadi akan ada 10 kaunter.

“Pihak Saudi menyediakan 10 kaunter dengan itu sekurang-kurangnya pergerakan pelepasan jemaah di imigresen berjalan lancar,” katanya ketika sidang media.

Terdahulu, Ruslin meninjau kaunter khas yang disediakan JIM untuk jemaah haji di lapangan terbang berkenaan.

Sementara itu, beliau memberi jaminan akan memantau perkembangan proses pelepasan jemaah haji dari semasa ke semasa.

Sebelum ini dilaporkan, seramai 31,600 orang jemaah Haji akan berangkat ke Arab Saudi melalui 102 penerbangan bermula Ahad ini. – MalaysiaGazette