KUALA LUMPUR – Parti Putra hari ini menyerahkan nota watikah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memohon baginda campur tangan terhadap tindakan kerajaan menarik balik rayuan berkaitan penggunaan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab dalam penerbitan agama Kristian.
Ketua Pergerakan Wira Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, pihaknya kecewa dengan penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung penarikan rayuan itu.
“Kenyataan pemimpim kerajaan ini sangat dangkal dan bercelaru serta tidak bertepatan dengan keputusan mahkamah sebelum ini. Bayangkan jika perkara ini berlaku kepada penganut agama lain, pasti mereka tidak senang apabila isu akidah, agama dan kefahaman mereka diganggu gugat,” katanya.
Terdahulu, Nasrul Ali Hasan bersama Naib Presiden Putra, Datuk Dr. Aziz Jamaludin dan Pengerusi Badan Perhubungan Putra Selangor, Datuk Asmawar Samad hadir menyerahkan nota watikah kepada wakil Istana Negara kira-kira jam 4.30 petang.
Nota watikah itu menyatakan ketidakpuasan hati dengan keputusan Kabinet pada Rabu lalu, selain kebimbangan terhadap penyebaran naskah agama Kristian yang akan tersebar meluas dalam negara ini.
“Keputusan Kabinet ini pada kami tidak memberi kesan kerana pendirian kami kekal untuk menjaga kepentingan Islam dan keharmonian awam, kita tetap tidak berganjak dan berpendirian rayuan proses ini perlu diteruskan.
“Dalam pada itu, kita lihat keputusan Kabinet ini sebagai keputusan politik, ia sekadar untuk melengahkan masa bagi mengemukakan cadangan baharu, yang mana kita tahu, entah bila akan dimuktamadkan,” ujarnya.
Nasrul Ali Hasan berkata, pihaknya juga bimbang Bible dalam bahasa Melayu akan diimport dari Indonesia dan kembali tersebar seperti pernah berlaku pada 2004 yang mana ia boleh mengelirukan anak muda.
Kataya, mereka yang baharu dalam proses mengenali diri dan tuhan seterusnya akan menganggap agama Islam dan Kristian itu adalah sama kerana al-Quran dan Bible menyebut nama Allah.
Berhubung gesaan Saifuddin agar ahli politik berhenti menjadikan isu tersebut sebagai modal politik untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri, Nasrul Ali berkata, siapa yang mula menjolok sarang tebuan.
“Sebenarnya ini bukan modal politik, ini berkaitan akidah. Bila disebut mengenai akidah perlu ada kefahaman ia bergantung pada Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dan ini adalah perkara dasar.
“Sebagai rakyat Malaysia apabila disebut berkaitan Islam dan Melayu, mereka kata politik. Janganlah sebut ini sekadar bahan politik untuk melagakan kita.
“Ini soal akidah, tolong betulkan kefahaman itu dan jangan rosakkan pemikiran anda. Kita tahu Menteri bersekali dengan kumpulan yang mungkin liberal, tetapi janganlah sampai isu akidah ini direndahkan,” dakwanya. – MalaysiaGazette