Timbalan Pengarah JKDNKA Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia, SAC Mohammad Azlin Sadari bercakap pada sidang media selepas Majlis Hi-Tea Polis Diraja Malaysia PDRM Bersama Media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 18 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) telah membuat rampasan barangan kontraban, hidupan liar serta pelbagai barangan kawalan bernilai RM1.7 bilion dalam tempoh tiga tahun sejak 2021 hingga April lalu.

Timbalan Pengarah (JKDNKA) Wildlife Crime Bureau (WCB) Perisikan dan Siasatan Khas (PSK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Azlin Sadari berkata, sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 4,460 kes dicatatkan dengan menahan 7,288 orang untuk tahun 2021, 4,505 kes dengan tangkapan 8,186 orang bagi tahun 2022.

“Bagi tahun ini, sejak Januari hingga April lalu, sebanyak 1,653 kes direkodkan dengan membabitkan tangkapan seramai 2,134 orang.

“Bagi kes penyeludupan kontraban sahaja, KDNKA berjaya menumpaskan sebanyak 508 kes yang membawa kepada tangkapan seramai 480 orang serta rampasan bernilai RM190 juta sepanjang tahun lalu.

“Bagi tahun 2023 ini, sejak Januari lalu, kita berjaya menahan 177 individu melibatkan 156 kes dengan rampasan berjumlah RM88.1 juta,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman  semalam.

Dalam pada itu, Azlin menambah, untuk haiwan liar pula, pihaknya telah mengesan sebanyak 255 kes membabitkan tangkapan seramai 293 orang dengan rampasan bernilai RM29 juta.

Beliau juga memaklumkan sebanyak 143 kes membabitkan barangan kawalan antaranya minyak masak, diesel dan petrol dengan rampasan RM9.8 juta untuk tahun lalu.

“Bagi tahun ini sahaja, sebanyak 108 kes dicatatkan membabitkan tangkapan seramai 196 orang dengan rampasan sebanyak RM34.75 juta barangan kawalan.

“Rampasan dan jumlah kes dicatatkan tahun ini meningkat disebabkan operasi proaktif yang telah dilaksanakan oleh KDNKA bagi membanteras kegiatan penyeludupan di negara ini,” katanya lagi.

Azlin menegaskan, pelbagai pihak memainkan peranan dalam mengekang aktiviti penyeludupan terutamanya pemilik stesen minyak di seluruh negara.

“Mereka perlu mengambil langkah berjaga-jaga selain mengambil tindakan tegas terhadap individu yang tidak bertanggungjawab yang cuba menyeludup minyak ke negara jiran.

“Pengusaha stesen minyak perlu memantau rapat kenderaan yang mengisi tangki kenderaan mereka dalam keadaan meragukan.

“Jika kenderaan tertentu mengambil masa lama untuk mengisi minyak, maka sesuatu aktiviti meragukan sedang dilakukan mereka dan pengusaha stesen petrol perlu segera melaporkan situasi itu kepada pihak berkuasa untuk tindakan pantas,’ ujarnya.- MalaysiaGazette