Awang Askandar Ampuan Yaacub

KUALA LUMPUR – Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Lt. Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub  Awang Askandar Ampuan Yaacub dilaporkan meninggal dunia ketika meneruskan misi mendaki gunung tertinggi Everest.

Perkara tersebut dimaklumkan dalam Facebook APM Baling sebentar tadi.

“Assalamualikum untuk makluman semua, saya telah menerima pengesahan daripada Tan Sri Dr. Salleh Bin Mohd Nor, Chef De Mission Misi Pendakian Everest berhubung pemergian Lt. Kol (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub – Pengarah APM Kedah,” katanya.

Pihak APM mengesahkan kematian Awang Askandar kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi.

Sementara itu menurut laporan media tempatan, mangsa dipercayai meninggal dunia selepas mengalami masalah pernafasan semasa pendakian melepasi kawasan ‘South Summit’.

Pengarah Pioneer Adventure, Nivesh Karki berkata, mangsa berada dalam keadaan tidak stabil kerana kesukaran bernafas yang menyebabkan dia terbaring kepenatan dan terpaksa dibawa turun.

“Mangsa bagaimanapaun meninggal dunia dalam perjalanan turun ke Kem IV.

“Mayat mangsa kini berada di South Col sementara menunggu bantuan seterusnya,” menurut laporan tersebut.

Selain Awang Askandar, 55, turut menyertai misi tersebut adalah anggota Komando 69 Kem Ulu Kinta, Koperal Pragash Murugesu, 33; kakitangan swasta, Ayu Wanirah Naharuddin, 30 dan orang kurang upaya (OKU) pekak, Muhammad Hawari Hashim,33.

Beliau memulakan misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023) pada 2 April sehingga 2 Jun.

Misi ME 2023 turut mendapat sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan ia sangat unik kerana menonjolkan semangat perpaduan Malaysia MADANI dari kalangan pelbagai bangsa.

Pada 2002, Allahyarhan bersama lima peserta Misi Pendakian ke Everest Base Camp berjaya tiba di puncak Everest Base Camp.

Sepanjang musim bunga tahun ini, sembilan nyawa direkodkan menjadi korban dalam cubaan menakluk puncak setinggi 8,849 meter itu.- MalaysiaGazette