KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneliti dan memperincikan pengisian-pengisian penting selepas lawatan ke Doha, Qatar.
Menurut Mohamed Khaled, pertemuan bersama beberapa wakil kementerian dilihat sebagai usaha mengukuhkan tahap pendidikan tinggi negara ke peringkat antarabangsa.
Antara yang ditemui sepanjang lawatan adalah Presiden Pendidikan Tinggi QF Qatar Foundation iaitu QF Fracisco J.Marmolejo; Ketua Pegawai Eksekutif Education Above All Foundation, Fahad Hamad Hasan Al Sulaiti dan Ketua Pegawai Eksekutif Thani Abdullah Foundation for Humanity, Dr Ayedh Dabsan Al-Qahtani.
“Antara intipati pertemuan adalah penajaan dan bantuan pendidikan tinggi kepada pelarian dan pelajar-pelajar dari negara-negara yang berhadapan dengan konflik, usahasama dalam menjawab prejudis dan stigma Islamofobia.
“Selain itu juga, kita turut meneroka peluang mengadakan kerjasama dalam pemantapan program TVET di kedua-dua negara dan mengadakan perkongsian pengalaman daripada Malaysia kepada negara Qatar.
“Ini bagi membantu membangun dan mengembangkan instrumen waqaf dalam sektor pendidikan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Turut sama mengiringi Mohamed Khaled ke Doha adalah Duta Besar Malaysia ke Qatar Tuan Yang Terutama Zamshari Shaharan.
Lawatan kerja oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Education Malaysia Global Services (EMGS).
Mohamed Khaled berkata, KPT turut menyatakan kesediaan untuk menerima lebih ramai pelajar, penyelidik, pensyarah dan ahli akademik tajaan kedua-dua organisasi ini di institusi pendidikan tinggi negara.
Jelasnya lagi, kunjungan hormat ke atas Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi Qatar, Buthaina Ali Al-Nuaimi turut membincangkan beberapa perkara penting seperti inisiatif baharu dan kerjasama strategik antara kedua-dua kementerian termasuk mewujudkan usahasama penyelidikan, khususnya dalam impak perubahan iklim, keterjaminan makanan dan keperluan menguruskan technological disruptions.
“KPT juga memaklumkan mengenai penawaran program luar pesisir (offshore programme) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di kampus Doha, Qatar.
“Selain itu, akan diwujudkan saluran dana Qatar Fund for Development bagi tujuan pendidikan serta kerjasama antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan Qatar University,” katanya.
Tambah beliau, pengisian seterusnya lawatan kerja ini adalah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Aljazeera Media Institute dan UIAM.
“Melalui MoU tersebut, mahasiswa jurusan komunikasi UIAM berpeluang mendapat latihan lapangan (field training) dan menyertai kursus serta program yang disediakan oleh Aljazeera.
“KPT juga mengalu-alukan kerjasama antara universiti dan industri seperti ini bagi memastikan kredibiliti serta daya saing program universiti dapat ditingkatkan sekali gus melonjakkan kadar kebolehpasaran graduan negara,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled turut melawat tapak serta meninjau kemajuan penubuhan kampus cawangan UKM di Doha, Qatar.
“Pada akhir tahun ini, kampus cawangan UKM di Doha akan mula menawarkan empat program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah secara pesisir (offshore).
“Kampus cawangan UKM di Doha ini adalah projek melalui kerjasama antara UKM dan The Regional Group of Qatar, sebuah syarikat yang menguruskan bidang pembangunan hartanah, pengurusan aset, pertanian dan pelaburan saham.
“The Regional Group of Qatar akan bertanggungjawab dalam pengurusan dan penyediaan kemudahan fasiliti serta infrastruktur, manakala UKM akan bertanggungjawab dalam penyediaan input akademik, termasuklah melibatkan kurikulum, pengajaran dan pembelajaran (P&P), jaminan kualiti serta pengijazahan. – MalaysiaGazette