ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat permohonan maaf kepada Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berhubung fitnah dilakukannya empat tahun lalu.
Permohonan maaf itu dibuat Muhammad Sanusi hari ini menerusi laman Facebooknya yang merupakan platform sama digunakan beliau untuk memuat naik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.
Muhammad Sanusi berkata, permohonan maaf itu dibuat berdasarkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 November 2021.
“Pada 30 Julai 2019, saya telah membuat satu hantaran di Facebook ini menyentuh isu perpindahan premis judi syarikat Sport Toto dari Alor Setar ke kawasan Pokok Sena.
“Saya telah menyatakan bahawa pemimpin Amanah dan Pakatan Harapan yang merupakan kerajaan pemerintah ketika itu telah pudar sensitivitinya kerana perpindahan premis Sport Toto tersebut berlaku ke kawasan majoriti Islam di Kedah, tanpa sebarang halangan sehinggalah isu tersebut ditimbulkan oleh masyarakat dan saya, empat bulan selepas kelulusan diberikan oleh Kementerian Kewangan.
“Oleh yang demikian, saya dengan ini memohon maaf kepada Mahfuz Omar atas kenyataan yang dibuat di dalam hantaran FB ini,” katanya hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Mahkamah Rayuan pada 3 April lalu, memerintahkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membayar jumlah ganti rugi sebanyak RM120,000 kepada bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Wira Mahfuz Omar, berhubung saman fitnah.
Ini selepas panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Seri Mariana Yahya dan Datuk Wong Kian Kheong, membenarkan rayuan balas Mahfuz untuk kuantum ganti rugi dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM120,000.
Pada 9 Oktober 2019, Mahfuz memfailkan saman itu berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan Sport Toto ke kawasan itu. – MalaysiaGazette