Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Dua anggota Unit Unit Kereta Peronda (MPV) Polis Kontinjen Kelantan yang berjaya merampas dadah bernilai RM9.5 juta diberi perhargaan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Sijil itu disampaikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sany Abdullah Sany sempena Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara kepada warga PDRM di Bukit Aman hari ini.

“Setinggi-tinggi tahniah juga diucapkan kepada dua orang anggota Unit MPV Kontinjen Kuala Lumpur yang telah berjaya merampas senjata tiruan sejumlah 25 laras rifle, dua pucuk pistol dan 480 butir peluru plastik bernilai RM318,00,” katanya dalam ucapan pada majlis yang sama.

Terdahulu, Acryl Sani berkata, Rondaan Bahagian Operasi Darat Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti mencakupi pasukan MPV dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap jaminan keselamatan diri dan harta benda termasuk pada musim perayaan lalu.

Rondaaan dilakukan di kawasan kediaman, komersial dan juga perindustrian.

Ketua Polis Negara berkata, bagi tempoh Januari hingga April 2023, unit MPV menjalankan sebanyak 872,283 pemeriksaan kenderaan yang mana sejumlah 76,768 saman dikeluarkan.

“Di samping itu, anggota unit MPV juga telah menjalankan sebanyak 1,651 tangkapan dengan 770 daripadanya berkaitan tangkapan kes jenayah, 777 lagi adalah tangkapan berkait kes narkotik manakala 104 tangkapan lagi berkait lain-lain kes.

“Dalam pada itu, URB juga turut melaksanakan sebanyak 154,887 aktiviti stop and talk serta meet and greet terhadap komuniti setempat sebagai usaha mendekatkan lagi PDRM dengan masyarakat,” katanya.

Dalam majlis yang sama, Acryl Sani turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 37 warga pasukan yang terdiri daripada pegawai dan pegawai awam daripada pelbgai jabatan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.

“Adalah diharapkan komitmen kita ini akan kita teruskan dengan sepenuh daya usaha dengan penuh dedikasi kerana kita
tahu kita adalah merupakan pelindung kepada masyarakat selari dengan moto kita Sedia Berkhidmat dengan Tangan Bersalaman,” ujarnya.

Acryl mahu seluruh warga pasukan agar dapat melipat ganda usaha bagi mencapai prestasi kerja yang lebih cemerlang, demi memenuhi harapan kerajaan, serta ekspektasi masyarakat.

“Kita akan meneruskan usaha-usaha menyediakan langkah pencegahan yang berterusan dan berstrategi serta diyakini. Kita percaya dapat mengurangkan kejadian jenayah daripada terus berleluasa.

“Kita pun sedia maklum untuk mencapai kadar sifar jenayah bagi sesebuah negara adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai.

“Namun demikian ini tidak bererti kita tidak mungkin untuk meneruskan usaha-usaha menyediakan langkah pencegahan yang berterusan dan berstrategi yang kita yakini dan kita percaya dapat mengurangkan kejadian jenayah daripada terus berleluasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette