DAP Melayu Melayu-Islam
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan tindakan kerajaan berhubung isu kalimah Allah ibarat lalang ditiup angin.

Kerajaan didakwa tidak mempunyai pendirian yang tetap dan berubah mengikut keadaan.

Abdul Hadi berkata, pihak hal ehwal agama di negeri masing-masing dan Jabatan Perdana Menteri yang terdahulu telah mempunyai keputusan mengenai penggunaan kalimah Allah.

“Keputusannya adalah demi menjaga urusannya secara fatwa yang berpandukan siyasah syari‘yyah dan maqasid al-syari‘ah dalam hubungan dengan bukan Islam yang menggunakan kalimah Allah bukan berasaskan maksudnya yang asal atas sempadan menjaga perpaduan dengan memberikan hak yang saksama kepada semua pihak.

“Bahkan, Selangor sudah mempunyai keputusan ketika negara dijajah sewaktu pemerintahan Almarhum Sultan Sulaiman.

“Akan tetapi, kerajaan Malaysia kini melihat dari segi maslahah Kerajaan Perpaduan ciptaannya yang bersifat pragmatik, bukan berdasarkan maslahah al-mursalah mengikut acuan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Hadi mendakwa keputusan berkenaan diambil tanpa mempeduli sensitiviti umat Islam yang berpandukan agama daripada ajaran yang dapat menyelesaikan masalah dan menjaga konsep kebebasan beragama mengikut sempadan.

Tambahan menurut beliau, Islam ialah agama Persekutuan dan terletak di bawah bidang kuasa negeri di bawah peranan Raja-Raja.

Menurut Hadi, dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menjadi panduan agar membiarkan masyarakat bukan Islam dengan agamanya tetapi dijaga sempadannya agar tidak mengelirukan umat Islam dan bukan bebas tanpa sempadan.

Ini termasuk Surah al-Zukhruf ayat 87 hingga 89 yang menegaskan sekiranya bukan Islam menyebut perkataan Allah yang tidak menepati maknanya yang sebenar maka terpulang kepada mereka.

“Hal ini demikian kerana, kebebasan agama wajib diberikan kepada mereka dan dijaga. Pada masa yang sama, Islam juga wajib dipertahankan dan tidak diganggu ajaran dan penganutnya sekali-kali.

“Hakikatnya, sudah ada keputusan terdahulu, hanya kerajaan PH sahaja yang serba salah kerana pendiriannya yang bergoyang ditiup angin,” kata beliau.

Dua hari lalu media melaporkan, Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ALLAH kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bagi menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh dan bersepadu.

Isu kalimah Allah timbul sebelas kerajaan bertindak menarik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, keputusan KDN menarik balik rayuan itu adalah melibatkan isu perundangan sivil dan pentadbiran iaitu berkaitan rampasan bahan penerbitan dan bukannya membabitkan isu penggunaan kalimah Allah.- MalaysiaGazette