KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menjelaskan mekanisme mengenai subsidi elektrik dengan jelas supaya pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri baru-baru ini tidak menimbulkan kekeliruan dan keresahan dalam kalangan rakyat khususnya golongan B40 dan M40.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran berkata, adalah sangat penting untuk kerajaan menjelaskan butiran terperinci seperti penggunaan elektrik yang dikategorikan sebagai tinggi.
Jelas beliau, di bawah Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT), pengguna domestik yang membayar bil elektrik di bawah RM77 tidak terkesan dengan perubahan kos bahan api.
Namun, sebaliknya berlaku bagi pengguna domestik yang bil elektrik melebihi RM77 dan semua pengguna industri dan komersial.
Ini kerana, di bawah pelaksanaan ICPT, kos bahan api akan disalur setiap enam bulan iaitu rebat diberikan sekiranya kos bahan api lebih rendah berbanding dengan kos asas yang ditetapkan.
Dan, kos tambahan (surcaj) pula akan dikenakan jika kos bahan api meningkat.
“Berdasarkan pengumuman perdana menteri baru-baru ini, seolah-olah subsidi yang diberikan melalui rebat kepada pengguna domestik selepas pandemik Covid-19 yang diumumkan pada awal tahun ini akan dimansuhkan.
“Andai ia akan dimansuhkan, mengapa tidak maklumkan sahaja subsidi akan ditarik balik dan kos bahan api akan disalurkan mengikut ICPT seperti biasa.
“Janganlah buat orang ramai keliru kerana sepatutnya apabila mahu mengumumkan sesuatu, kerajaan sewajarnya memastikan mekanismenya berfungsi terlebih dahulu,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa hanya pengguna domestik yang menggunakan elektrik berlebihan akan dikenakan caj tarif elektrik semasa dan tidak diberikan subsidi.
Kata perdana menteri, kerajaan sebelum ini juga menolak menaikkan tarif elektrik sepertimana yang ingin dilakukan kerajaan terdahulu.
Ia bertujuan mengurangkan beban pengguna domestik terutama golongan B40 dan M40.
“Umpama rumah tiga kipas, empat penghawa dingin, dia harus bayar kos sebenar dan tidak gunakan subsidi.
“Maknanya golongan M40 dan B40 tidak dinaikkan, tapi rumah-rumah yang menggunakan elektrik tinggi akan dikenakan bayaran ikut kos harga pasaran,” jelas Anwar.
Mengulas lanjut, Piarapakaran menambah, penggunaan elektrik oleh pengguna domestik di Semenanjung Malaysia membabitkan 27 peratus manakala bakinya 73 peratus adalah pengguna perniagaan termasuk agensi-agensi kerajaan.
Katanya, kenaikan elektrik bagi T20 tidak akan memberi kesan kepada mereka tetapi jika berlaku kepada sektor perniagaan, pastinya kos tersebut akan diserap dalam perkhidmatan dan produk.
Persoalannya, jika itu berlaku bagaimanakah kerajaan mahu membantu menurunkan kos sara hidup yang menjadi dilema kepada rakyat di negara ini.
Oleh itu, pentingnya, isu ini dilihat secara menyeluruh kerana perlu ada penyelesaian kepada rakyat yang kini dibebani dengan kenaikan dalam seluruh aspek.
Jelasnya, kerajaan tidak perlu melaksanakan pemberian rebat bil elektrik pada musim panas yang berlaku di negara ini tetapi perlu ada mekanisme yang betul.
Antaranya, perlu merunding semula, Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) yang dilakukan secara rundingan terus yang diberikan di antara tahun 2014 hingga tahun 2019 yang tidak selaras dengan dasar-dasar kerajaan.
Dakwanya, ada berlaku kepincangan dalam pemberian PPA tersebut yang membabitkan 4,000 Megawatt.
“Kerajaan boleh merunding semula perjanjian-perjanjian yang tidak selaras kerana ia boleh memberi penjimatan antara RM10 bilion hingga RM15 bilion,” ujarnya.
Katanya, penjimatkan kos penjanaan tenaga ini boleh disalurkan kepada semua kategori pengguna.
AWER juga mahu kos ICPT dibuat secara telus agar ia dapat mengurangkan impak caj tambahan kepada pengguna. – MalaysiaGazette