Lim Kit Siang Parlimen PRU-15 Najib
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada pandangan Tan Sri Abdul Hadi Awang terhadapnya akan berubah sekiranya beliau mencadangkan Presiden Pas itu sebagai calon Perdana Menteri ketika mereka masih bersama Pakatan Rakyat dahulu.

Beliau menjelaskan, Abdul Hadi pernah mencadangkan supaya Presiden Semangat 46 ketika itu, Tengku Razaleigh Hamzah menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri bagi pakatan tersebut.

“Adakah kerana saya tidak bersetuju dan mengingatkan Abdul Hadi tentang keputusan Pakatan Rakyat untuk menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri maka saya dituduh anti-Melayu dan anti-Islam?

“Adakah saya akan menjadi tokoh yang memperjuangkan Islam sekiranya saya mencadangkan Abdul Hadi dan bukannya Tengku Razaleigh sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Kit Siang yakin kerajaan pimpinan Anwar tidak akan ditumbangkan melalui gerakan seumpama Langkah Sheraton setelah melihat kejayaan Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan minggu lalu.

Beliau percaya segala usaha untuk menjatuhkan kerajan melalui gerakan ‘pintu belakang’ telah dipatahkan.

“Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar telah melepasi ujian dengan penganjuran konvensyen tersebut,” jelasnya.

Kit Siang berkata, sekiranya pungutan suara diadakan sekarang, beliau percaya majoriti besar rakyat akan bersetuju bahawa Malaysia memerlukan kestabilan politik dan perpaduan nasional bagi mengembalikannya kepada prinsip pembinaan negara bangsa yang asal. – MalaysiaGazette