R. Ramanan

KUALA LUMPUR – Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkaitan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap kebudak-budakan.

Ia tidak lebih daripada meraih publisiti murahan, kata Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R Ramanan.

Saifuddin, dakwanya, tidak memiliki sebarang kelayakan untuk bercakap tentang seorang pemimpin berjiwa rakyat yang telah mendedikasikan perjuangan reformasi selama hampir 30 tahun.

Jelasnya, Saifuddin sepatutnya cermin dirinya sendiri sebelum membuat apa-apa kenyataan populis yang akhirnya mungkin memakan dirinya sendiri.

“Rakyat masih lagi keliru apakah sebenarnya perjuangan Saifuddin, sekejap dalam UMNO dan bercakap tentang orang Melayu kemudian masuk PKR cakap tentang perjuangan liberal kemudian masuk Bersatu selepas ini entah apa lagi.

“Bukan sahaja perjuangan malah prinsip dan pendiriannya juga selalu sangat bertukar mengikut keperluan dan kepentingan politiknya, siapa yang beri jawatan dan kuasa itulah yang menjadi pilihannya. Kerana itu juga selama bergelar ahli politik, beliau telah melompat sana sini.

“Orang seperti ini janganlah cerita tentang pemimpin lain,” katanya.

Ramanan mendakwa sama ada Saifuddin masih ingat dia membelakangkan kepercayaan rakyat yang mengundi beliau dengan melompat parti demi nafsu politik dan agenda peribadinya.

“Satu ketika dulu, Anwar ini adalah pemimpin pilihannya, beliau angkat dan julang. Hari ini apabila sudah tidak ada kuasa, maka dikritiknya untuk meraih publisiti murahan. Sepatutnya dari awal jika benar perjuangan ikhlas perlu tampil ikhlas bukan cakap satu buat benda lain,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Saifuddin yang juga mantan Menteri Luar hari ini  mengkritik Anwar supaya menjalankan tanggungjawab bukan menjadi selebriti seperti merapu atau berlakon.

Bagaimanapun, kata Ramanan, ramai lagi ‘pelakon’ politik yang berada di luar sana yang sibuk menyakau wang rakyat dan berlakon depan rakyat kononnya agenda kebajikan mereka akan menjadi fokus.

“Bila kempen cakap semuanya manis-manis kemudian lepas menang terus lompat untuk pasti adanya jawatan besar. Itu baru namanya pelakon. Duit rakyat, dana negara dicuri siang malam.

“Satu lagi kategori pelakon ialah golongan ahli poliitk yang bercakap besar bagaimana mereka mahu berjuang untuk bangsa mereka apabila mereka sudah tidak lagi mempunyai apa-apa jawatan dan kuasa. Apakah yang telah dilakukan oleh golongan ketika menjadi kerajaan?” soalnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anwar nak jadi PM atau selebriti?- Saifuddin

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast