Lynas Malaysia Sdn. Bhd.

KUANTAN – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) digesa untuk mempertimbangkan semula keputusan  menolak rayuan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) yang menggugurkan empat syarat lesen yang ditetapkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) agar disemak semula.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, ia susulan keputusan itu dibuat hanya  berdasarkan kepada persepsi, emosi dan politik dan tidak berdasarkan kepada data dan fakta tepat berhubung pengoperasian Lynas.

Keputusan tersebut perlu mengambilkira kepada pelabur yang telah membuat urusniaga  termasuk pengusaha industri hiliran di kawasan berkenaan.

”Lynas telah beroperasi telah hampir 12 tahun namun tiada isu daripada segi pencemaran, kesihatan, kalau ada isu kita setuju tindakan diambil. Namun keputusan MOSTI dibuat berdasarkan cerita 15 tahun dulu punya persepsi yang dibawa.

“Beri keadilan kepada Lynas, mereka sudah lama membawa perniagaan di sini dan melabur hampir RM3 bilion, keputusan yang diambil MOSTI akan beri kesan kepada pelabur lain serta keyakinan mereka akan hilang,” katanya.

Andasura berkata demikian kepada media semasa pada Jamuan Aidilfitri Keluarga Perikatan Nasional (PN) di Indera Mahkota pada yang turutdihadiri Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di sini semalam.

Mengulas lanjut, Andansura berkata, sehingga kini tiada satu kes pun dilaporkan dan data boleh diakses umum serta diteliti di beberapa laman sesawang JAS (Jabatan Alam Sekitar), AELB dan kesihatan.

”Kita merasakan keputusan MOSTI ini perlu disemak semula, mempertimbangkan semula keputusan yang diambi, ini adalah  suara daripada mereka di kawasan sini kerana Lynas bukan sahaja mematuhi syarat yang ditetapkan sepanjang pengoperasian selain menyumbang sosio ekonomi kepada masyakarat setempat.

”Saya berharap supaya dibenarkan Lynas beroperasi namun segala syarat dipatuhi kerana soal keselamatan tidak dikompromi.

“Kalau betul Lynas boleh mencemarkan alam sekitar dan menjejaskan kesihatan, kita setuju tindakan diambil. Data lengkap ada, kesihatan ada malah pekerja Lynas tiada seorang pun yang sakit terkesan daripada (aktiviti) yang mereka jalankan,” katanya.

Terdahulu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang bersetuju melanjutkan tempoh operasi cracking and leaching (C&L) Lynas sehingga 31 Disember selepas mengambilkira kesan keputusan terhadap rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global pada 8 Mei lalu.

Bermula 1 Januari 2024, Lynas perlu memastikan loji C&L di luar negara mula beroperasi dan Lynas tidak lagi dibenarkan untuk mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi ke Malaysia.

Sebelum ini, AELB menolak permohonan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen berkaitan pengurusan sisa Water Leach Purification selepas Julai 2023, aktiviti C&L di Lynas Advanced Materials Plant dan pengimportan pekatan lantanid dari Australia. – MalaysiaGazette