KUALA LUMPUR – Sebanyak 36 buah sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor rosak akibat kejadian ribut kelmarin.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, kerosakan itu melibatkan 27 buah sekolah di Kuala Lumpur dan sembilan di Selangor.
Menurutnya, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan membuat penilaian lanjut terhadap kerosakan yang berlaku di sekolah berkenaan dengan kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
“JKR akan mengemukakan laporan penilaian berserta anggaran kos kepada KPM dan penyaluran peruntukan penyelenggaraan untuk tujuan membaiki kerosakan di bawah kecemasan akan disalurkan kepada JPWPKL dan JPNS dengan kadar segera.
“JPWPKL, JPNS dan PPD akan melaksanakan pembaikan serta pembersihan segera bagi membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) diteruskan tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
KPM berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat perkara berkaitan keselamatan, kesejahteraan dan kebajikan seluruh warganya. – MalaysiaGazette