Recep Tayyip Erdogan

KUALA LUMPUR – Diaspora Turkiye di Malaysia mula mengundi pada Sabtu untuk pusingan penentuan pemilihan presiden Turkiye yang menyaksikan persaingan antara penyandang presiden Recep Tayyip Erdogan dan pencabarnya Kemal Kilicdaroglu.

Pilihan raya penentu akan diadakan di Turkiye pada 28 Mei selepas Erdogan gagal memperoleh 50 peratus undi yang diperlukan untuk mengekalkan jawatannya pada pemilihan yang berlangsung Ahad lepas.

Kedutaan Turkiye di Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kira-kira 700 rakyat Turkiye di Malaysia layak mengundi kali ini.

Proses pengundian dijalankan di kedutaan selama dua hari bermula Sabtu (20 Mei) dari 8 pagi hingga 10 malam.

“Kertas undi akan dihantar ke Turkiye pada Isnin. Semua undi akan dikira pada malam 28 Mei,” menurut kenyataan itu.

Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel, berkata Turkiye sebuah negara demokrasi yang lengkap dengan peraturan dan adat.

“Pusingan pertama pemilihan presiden telah pun selesai tanpa sebarang masalah. Sistem pilihan raya boleh dipercayai, telus dan di bawah pemerhatian berterusan semua pihak yang terlibat,” katanya.

Pengundian pusingan pertama telah dijalankan dari 6 hingga 7 Mei di Malaysia.

Sementara itu, pengundi Emre Senyuva, berkata mengundi di luar negara sangat istimewa dan berterima kasih kepada pihak kedutaan kerana memberi peluang kepadanya untuk melaksanakan haknya.

Kira-kira 3.4 juta rakyat Turki layak mengundi di luar negara daripada keseluruhan 64 juta pengundi.

Pada pusingan pertama,  Erdogan memenangi 49.5 peratus undi manakala Kilicdaroglu, ketua pakatan pembangkang yang terdiri daripada enam parti, memperoleh 44.89 peratus undi. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast