Insiden buli di sebuah sekolah di Butterworth.

BUTTERWORTH – Polis merampas enam telefon bimbit yang dipercayai digunakan suspek dalam dua kes buli membabitkan pelajar berbeza di sebuah sekolah menengah sama di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, siasatan mendapati kes itu berlaku pada 18 Mei selepas mendapat laporan daripada keluarga mangsa serta pihak sekolah.

Jelas beliau, kes pertama berlaku kira-kira jam 1 tengah hari membabitkan mangsa pelajar Tingkatan Dua dipukul seorang pelajar Tingkatan Tiga.

“Manakala kejadian kedua pula, mangsa merupakan pelajar tingkatan Satu telah dipukul sembilan pelajar senior kira-kira jam 3 petang, yang mana mangsa hanya mengenali seorang daripada suspek.

“Hasil siasatan juga mendapati kedua-dua mangsa dipukul di tandas lelaki sekolah terbabit menggunakan tangan dan kaki tanpa sebarang objek lain.

Menurut Mohd Asri, kes pertama disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mencederakan manusia dan siasatan akan dijalankan selepas pihaknya memperoleh OTI (order to investigate) daripada pihak pendakwaraya.

Kata beliau, bagi kes kedua, seramai sembilan suspek membabitkan pelajar Tingkatan Dua sehingga Tingkatan Empat sekolah sama telah ditahan pada Jumaat lalu.

“Ujian saringan awal air kencing sudah dijalankan dan didapati kesemua suspek tidak terlibat dengan sebarang penyalahgunaan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan dan kita menasihati orang ramai agar tidak terus menularkan video buli itu kerana dikhuatiri menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast