Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Rumah Terbuka Aidilfitri Perikatan Nasional di Kompleks Kebudayaan Negeri Selangor, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 21 MEI 2023.

SHAH ALAM – Rumah Terbuka Aidilfitri Perikatan Nasional (PN) berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7 di sini mencatat kehadiran luar biasa apabila diserbu lebih 30,000 pengunjung malam ini.

Bermula pukul 6.00 petang sehingga 12 malam, pengunjung sanggup berdepan kesesakan trafik sehingga ada yang sanggup berjalan sejauh dua kilometer menuju ke dewan majlis itu.

Malah masih ramai pengunjung yang terkandas apabila terdapat jalan ditutup gara-gara limpahan kereta yang parkir berlapis di sekitar jalan utama.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang ditemui media meluahkan rasa terharu dengan jumlah kehadiran pengunjung yang diluar jangkaan itu.

“Awak (media) kena lapor jumlah ramai ini sampai parkir tidak ada.

“Kami pada mulanya menjangkakan lebih 30,000 pengunjung hadir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PN.

“Ini kerana ia bermula 6 petang hingga 12 malam melibatkan lima sesi masa secara berperingkat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berucap turut kagum dengan suasana pengunjung yang ramai itu dan telah memberi penghargaan kepada Azmin.

Beliau juga memanggil Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak naik ke atas pentas di atas penganjuran majlis yang disifatkan amat berjaya.

“Tahniah Datuk Seri Azmin kerana ramai yang hadir malam. Kalau boleh jangan buat sekali majlis macam ini, biar buat banyak kali,” katanya yang juga Presiden Bersatu.

Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau. – MalaysiaGazette