Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki kerugian wang sebanyak RM90,000 selepas ditipu dalam urusan jual beli kereta HRV Honda baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, mangsa berumur 36 tahun mendakwa dia ditipu selepas berurusan dengan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai ejen jualan di salah satu syarikat kenderaan terkemuka yang terletak di Jalan Damansara, ibu negara pada 9 Januari lalu.

“Siasatan mendapati pengadu dalam masa yang sama telah membuat bayaran wang tempahan berjumlah RM500 kepada suspek dan bayaran tersebut telah diserahkan kepada pihak syarikat.

“Selain itu pada 29 April hingga 4 Mei tahun ini pengadu telah membuat pembayaran wang secara tunai dan pindahan dalam talian ke nombor akaun syarikat yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan.

Tetapi pada 11 Mei lalu, pengadu telah menerima panggilan telefon daripada pengurus  syarikat jualan kenderaan itu yang memaklumkan pihaknya masih belum menerima bayaran pendahuluan tersebut.

Lebih mengejutkan dia diberitahu bahawa lelaki berkenaan sudah tidak lagi bekerja dengan syarikat itu.

“Bertindak atas aduan mangsa, polis telah membuka kertas siasatan dan kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Suspek juga telah dikenalpasti dan polis sedang mempergiatkan usaha untuk menjejaki individu tersebut untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Amihizam menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan segala taktik penipuan jenayah scammer yang menyebabkan ramai mangsa lebih terpedaya.- MalaysiaGazette