Johari Ghani

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) hari ini menimbulkan persoalan mengenai beberapa syarikat Malaysia yang dilihatnya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat China namun ia tidak ada rekod mengenainya.

MoU itu dibuat dalam lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke republik berkenaan baru-baru ini.

Bekas Menteri Kewangan kedua itu turut mengemukakan soalan adakah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) atau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melakukan proses tapisan terhadap syarikat-syarikat berkenaan.

“Baru-baru ini, Perdana Menteri (Anwar) ada membuat lawatan ke China dengan menyaksikan 19 MoU yang ditandatangani oleh syarikat-syarikat tempatan dan juga syarikat China yang berjumlah dijangka RM170 bilion.

“Soalan saya adakah MITI atau MIDA telah melakukan tapisan syarikat-syarikat ini sebelum membawa Perdana Menteri untuk menyaksikan menandatangani MoU tersebut.

“Ini kerana saya nampak daripada 19 MoU, ini ada beberapa syarikat yang saya nampak tidak mempunyai track record untuk kita persembahkan kepada sebuah negara seperti China yang merupakan negara ekonomi kedua terbesar di dunia,” katanya bagi sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Johari dalam pada itu turut meminta penjelasan daripada MITI mengenai langkah yang akan diambil untuk memastikan komitmen pelaburan dianggarkan berjumlah RM170 bilion itu dapat memberikan manfaat kepada rakyat, termasuk peluang pekerjaan.

“Saya tahu kalau ikut statistik, mana-mana pelaburan langsung asing (FDI) yang dibawa (masuk dalam negara), kita boleh realisasikan sekitar 70 peratus dan ia boleh membantu peluang pekerjaan yang sangat banyak kepada negara,” katanya lagi.

Menjawab pertanyaan Johari, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Liew Chin Tong berkata, MoU yang ditandatangani itu akan dipantau oleh jawatankuasa secara khusus.

Beliau berkata, MIDA juga telah melakukan proses biasa dalam menilai syarikat-syarikat itu.

“Untuk masa depan sebenarnya, kerajaan dipandu oleh dasar pelaburan baharu melibatkan lima kriteria. Kriteria kita menerima pelabur asing atau apa sahaja pelaburan ialah meningkatkan kemampanan ekonomi untuk menjana pekerjaan bernilai tinggi atau berpendapatan tinggi.

“Selain itu, memperluaskan rangkaian domestik dan mewujudkan kluster ekonomi baharu dan meningkatkan keterangkuman. Ini adalah dashboard kita untuk memantau apa yang kita terima,” jawabnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pak Johari biarlah ANWAR saksikan MoU tu di China… daripada budak-budak pejabat kerajaan SAUDI yang menjadi saksi ANWAR IBRAHIM yang tidak diperdulikan Raja Arab Saudi tu..
    Sayonara goodbye Zahid Hamidi

Comments are closed.