PUTRAJAYA – Bantahan awal pendakwaan bagi kes rayuan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Ab. Samad akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Julai depan.
Ketika ini Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan bersama Zizie sedang merayu tiga pertuduhan rasuah yang sedang dihadapi mereka.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, mahkamah telah mengarahkan hujahan bertulis difailkan pada 22 Jun ini.
Tarikh-tarikh itu telah diputuskan selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mohd. Khairi Haron manakala peguam Tey See Khoon mewakili Bung dan Zizie hari ini.
Sebelum ini, pendakwaan telah memfailkan bantahan awal terhadap rayuan Bung dan Zizie Izette berhubung keputusan mahkamah yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan tersebut pada 7 Mac lepas.
Bung dan Zizie sepatutnya mula membela diri atas pertuduhan rasuah pada 3 Januari lalu namun ditangguhkan selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan mereka untuk menggantung prosiding itu sementara menunggu rayuan.
Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.
Bung juga didakwa menerima suapan RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.
Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. -MalaysiaGazette