PETALING JAYA – Seorang bayi perempuan yang di bawah jagaan pengasuhnya meninggal dunia kerana disyaki diabaikan.
Insiden menyayat hati yang menimpa bayi berkenaan berlaku di sebuah kediaman milik pengasuh berkenaan sini dua minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kes kematian bayi itu kira-kira pukul 3.56 petang 9 Mei lalu.
Bertindak atas maklumat dan laporan polis yang diterima, polis berjaya membuat tangkapan ke atas seorang wanita berusia 31 tahun yang merupakan pengasuh kepada bayi tersebut.
“Suspek warga tempatan itu ditahan di sebuah kediaman disyaki tempat tinggal miliknya pada 13 Mei lalu, kira-kira pukul 5.30 petang.
“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana disyaki melakukan pengabaian terhadap bayi tersebut sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, polis masih meneruskan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kematian bayi tersebut.
Pada masa yang sama beliau merayu orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai mangsa agar segera menghubungi Balai Polis berhampiran atau bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah Polis Petaling Jaya di talian 03-79662222 sebagai membantu siasatan kes.
Dalam pada itu, seorang lelaki yang dipercayai bapa kepada bayi itu yang dikenali sebagai Abdur Rahman Abdullah telah membuat satu hantaran di laman Facebook peribadinya menerangkan mengenai berita kematian anak kembar itu semalam sehingga mendapati perhatian warga netizen.
Hantaran tersebut meluahkan betapa sedihnya dia apabila kehilangan anaknya itu.
Kematian bayi berkenaan adalah kehilangan kali kedua buat ibu dan bapanya selepas kembar mangsa meninggal dunia selepas sembilan hari dilahirkan kerana pendarahan otak.
Katanya, dia dan isteri mencari pengasuh kira-kira tiga bulan lalu sebelum berjumpa dan melihat kawasan sekeliling di kediaman wanita terbabit.
“Selepas lima hari (tidak termasuk tiga hari percubaan) saya menghantar bayi ke rumah pengasuh dan pada 9 Mei, anak saya meninggal dunia di rumah pengasuh itu.
“Kehilangan anak saya sangat menyakitkan, lagi-lagi pada isteri saya. Kami telah pun membuat laporan polis dan kes ini dalam siasatan.
“Semoga Allah menegakkan keadilan demi anak kesayangan kami. Kami berharap perkara seperti ini tidak akan terjadi kepada orang lain,” katanya dalam hantaran di Facebook tersebut.-MalaysiaGazette